JENDELA inisiatif membawa Malaysia ke arah penyambungan digital yang lebih besar

08 Mac 2022 - RTM


JOHOR BAHRU, 8 Mac - Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA yang merupakan rancangan infrastruktur digital nasional bernilai RM21 billion merupakan inisiatif kerajaan membawa Malaysia ke arah penyambungan digital yang lebih besar.

Negeri Johor juga tidak ketinggalan dalam menerima pelbagai manfaat besar menerusi JENDELA meliputi pelbagai kemudahan sama ada di bandar dan luar bandar.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyasarkan hingga akhir 2022, liputan 4G di negeri Johor sahaja mencapai 99.14%.

Antara yang menjadi fokus MCMC dalam fasa 1 JENDELA ialah projek yang dekat dengan rakyat, seperti Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia atau PEDi.

"Ini telah dinaiktaraf untuk menjadi PEDi di mana ini kita lebih menumpukan kepada aktiviti untuk sosioekonomi ekonomi penduduk setempat, maknanya nak tambah pendapatan mereka.

"Untuk Johor sehingga kini, kita ada 87 pusat internet yang sedang beroperasi manakala tiga lagi dalam proses pembinaan dan ada 11 lagi dalam perancangan untuk kita tubuhkan PEDi," kata Pengarah MCMC Johor, Mohamad Rizal Ahmad.

Dalam pada itu, pewujudan PEDi ini menyasarkan 15.4 juta penduduk golongan B40 untuk memperkasakan kegiatan ekonomi mereka dengan pelbagai kaedah dan latihan.

"Kita menyediakan kempen klik dengan bijak, kelas usahawan. Untuk kelas komputer ini tidak semestinya kanak-kanak tetapi warga emas, dewasa dan belia semua boleh datang ke sini untuk menggunakan perkhidmatan," menurut Pengurus PEDi, Nurul Jannah Jamaluddin.
Penyediaan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) seperti di Felda Kahang Barat merupakan inisiatif MCMC untuk menyediakan capaian internet secara kolektif khususnya kepda penduduk.

PEDi Felda Kahang Barat ini telah menerima seramai 2,900 pengguna sejak ditubuhkan.

Menurut Penasihat PEDi Felda Kahang Barat, Azlin Abd Jalani 2,200 daripadanya adalah mereka yang berdaftar dengan PEDi berkenaan. Manakala 700 merupakan pengguna tidak berdaftar.

"Selain mengikuti kelas yang diadakan di PEDi Felda Kahang Barat, mereka juga menggunakan perkhidmatan yang ada untuk memasarkan produk secara dalam talian," katanya.
Sementara itu, bagi remaja kekerapan menggunakan fasiliti dan menyertai aktiviti yang diadakan di PEDi ini, melayakkan mereka mendapat manfaat Pakej Remaja Keluarga Malaysia.

"Dengan Pakej Remaja Keluarga Malaysia ini saya dapat gunakan untuk Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan berbincang dengan kawan mengenai tugasan sekolah yang tidak difahami," kata Muhammad Syahmie Aiman Zainal.
 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.