Jumlah aduan perkhidmatan telekomunikasi turun 90 peratus selepas PKP
LANGKAWI: Jumlah aduan berhubung perkhidmatan telekomunikasi di seluruh negara menurun sebanyak 90 peratus setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan pada 31 Disember lalu.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, pihaknya menerima sehingga 30,000 ribu aduan daripada pengguna sepanjang tempoh hampir dua tahun pelaksanaan PKP yang bermula 18 Mac 2020.
“Sewaktu PKP terdahulu, penggunaan internet terlalu tinggi, maka aduan juga tinggi. Apabila kita melaksanakan program Jendela (pelan Jalinan Digital Negara) aduan itu berkurangan,” katanya selepas menghadiri majlis Siri Jelajah Merakyatkan Perkhidmatan Telekomunikasi di Auditorium Kompleks Lembaga Pembangunan Langkawi, di sini, hari ini.
Katanya, sepanjang tempoh PKP, SKMM menerima sehingga 30,000 aduan daripada pengguna berkaitan perkhidmatan telekomunikasi dan jumlah itu berkurangan kepada kira-kira 4,000 aduan sahaja.
Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah aduan kini meningkat semula kerana cara penggunaan pelanggan telekomunikasi telah berubah daripada penggunaan biasa seperti pesanan ringkas kepada aplikasi penstriman video.
Jelasnya, aduan yang diterima kini juga berbeza berbanding dahulu di mana aduan tidak lagi berkisar mengenai kekurangan liputan sahaja.Katanya, aduan daripada pengguna kini lebih kepada kualiti perkhidmatan telekomunikasi seperti tahap kelajuan melayari internet.
“Jadi aduan sekarang tidak lagi pada liputan, tetap kepada aduan tentang kualiti. Jadi di sinilah kita mengguna pakai pendekatan di mana kita menetapkan tahap kualiti berkala. Maksudnya kalau dulu cukup 10Mbps, hari ini mungkin 30Mbps sebagai kualiti purata yang boleh dirasai oleh pelanggan,” ujarnya.