KKD, SKMM akan jumpa CEO syarikat telekomunikasi, bincang rangkaian 5G

06 Mei 2023 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan pertemuan dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) atau wakil syarikat-syarikat telekomunikasi pada Isnin ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata ia susulan keputusan Jemaah Menteri pada Rabu lalu untuk melaksanakan rangkaian 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga tahap capaian 80 peratus di kawasan berpenduduk di seluruh negara.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah diminta untuk berhubung dengan CEO atau wakil syarikat telekomunikasi bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Sebelum ini, kita sebut 96.92 peratus liputan 4G di seluruh negara, namun realitinya tidak ada satu pun syarikat telekomunikasi yang rangkaian 4G mencapai peratusan itu.

"Bagi pengguna, sering kali terpaksa memiliki dua kad SIM, iaitu lebih daripada satu rangkaian. Jika ada yang balik kampung atau ke kawasan yang tidak ada liputan telekomunikasi syarikat A, jadi dia terpaksa belanja lebih untuk (langgan khidmat) syarikat telekomunikasi B," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ramah mesra bersama pengguna media sosial di Muzium Telekom, di sini hari ini.

Fahmi memaklumkan, pihaknya baru menyelesaikan isu 5G dan mahu menyelesaikan isu perkongsian rangkaian dengan mengadakan pertemuan berkenaan pada Isnin ini.

"Kita mahu melaksanakan rangkaian 5G melalui DNB sehingga mencapai capaian 80 peratus kawasan berpenduduk dan selepas itu pada tahun depan, kita akan beralih kepada 'dual network' (dua rangkaian).

"Ada beberapa entiti akan bekerjasama dengan setiap entiti terdapat sejumlah syarikat telekomunikasi yang akan mengusahakan pembinaan menara yang mencukupi," katanya lagi.

Menurutnya, ia bagi memastikan pengguna ada aspek rangkaian lebih daripada satu supaya mempunyai rangkaian sokongan jika satu-satu rangkaian lain tidak dapat digunakan kerana berdepan masalah.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berpandangan, terdapat keperluan untuk beberapa syarikat penyedia perkhidmatan platform media sosial berpangkalan di Malaysia bagi memudahkan urusan perbincangan, termasuk mengatasi masalah penipuan secara dalam talian.

Katanya, sebelum ini, isu iklan penipuan perkhidmatan mencuci rumah serta penipuan membabitkan jualan kereta dan barangan lain, seakan-akan tidak ada maklum balas daripada pihak Meta Platforms Inc (Meta), pemilik platform media sosial Facebook dan Instagram.

"Kita akan jemput pihak Meta untuk bertemu SKMM dan cuba memahami kenapa pihak Meta begitu lambat mengenal pasti penipuan berlaku.

"Ini antara sebab saya arahkan pengerusi SKMM memangil pihak Meta. Saya rasa mungkin ada keperluan kita teliti kewajaran untuk beberapa syarikat penyedia perkhidmatan platform media sosial ini untuk berpangkalan di Malaysia supaya mudah (untuk berurusan)," katanya.

Beliau mengakui penyedia perkhidmatan itu wujud di negara ini, tetapi tidak ada pangkalan atau pejabat di Malaysia.

"Ia sedikit menyukarkan, antara perkara kita mahu tegaskan kerana saya percaya keberadaan wakil mereka di Malaysia akan memudahkan (urusan). Jika tidak, kita kena tunggu, maka itu menyukarkan, terutama ketika mahu menangani masalah penipuan," katanya.

Katanya, pihaknya mahu mengadakan pertemuan terlebih dahulu dengan pihak berkenaan sebelum sebarang keputusan diumumkan oleh SKMM nanti.

Sementara itu, Fahmi berkata, pihaknya berdepan masalah menyekat operasi perjudian dalam talian kerana sindiket berkenaan akan membuka platform lain jika aktiviti mereka dikesan.

"Masalah judi dalam talian adalah apabila kita tutup satu, mereka buka lagi yang lain dan ini perkara yang kita sedang teliti termasuk melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM.

"Kita lihat mungkin kita perlu teliti cara berbeza untuk atasi masalah ini memandangkan sindiket (perjudian dalam talian) menggunakan beberapa cara selain laman sesawang.

"Ada yang guna aplikasi selain 'menyamar'. Apabila kita lihat dari luar, ia seperti aplikasi biasa, tetapi sebenarnya di sebalik aplikasi itu, ada elemen perjudian yang tidak dilesenkan," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.