KKD optimis capai 80 peratus 5G hujung tahun
KUALA LUMPUR, 13 Mac - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kekal optimis pelaksanaan rangkaian 5G akan mencapai liputan sasaran 80 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata sebanyak 4,363 tapak 5G telah siap dibangunkan Digital Nasional Berhad (DNB) di seluruh negara setakat 28 Februari 2023.
"Pembekal perkhidmatan mengamalkan konsep teknologi neutral di mana tiada perbezaan di antara perkhidmatan 5G dan perkhidmatan 4G. Berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) setiap tahun di mana kadar mampu milik pakej runcit dibandingkan dengan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita.
"Harga perkhidmatan mudah alih di Malaysia adalah munasabah. Sebagai contohnya, bagi pakej asas data, panggilan dan sms mudah alih untuk penggunaan rendah dan tinggi, malaysia menduduki tempat ke-3 di rantau Asean selepas Singapura dan Brunei," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat.
Sehingga kini, 54.7 peratus ketersediaan liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk telah siap dibangunkan.
Tambah Nie Ching, pihaknya kini sedang membuat libat urus bersama syarikat telekomunikasi bagi memastikan kos liputan 5G kekal rendah dan boleh diakses pengguna seluruh negara.