Kadar penggunaan 5G di Malaysia rendah, hanya 4.2 peratus

25 Sep 2023 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Kadar penggunaan 5G Malaysia ketika ini kekal rendah pada 4.2 peratus, demikian kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Justeru, beliau berkata, lebih banyak usaha mesti dilakukan untuk merealisasikan potensi teknologi itu sepenuhnya.

"Penggunaan 5G boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan mengubah pelbagai sektor di Malaysia seperti pembuatan, logistik dan pengangkutan, peruncitan dan hiburan, perbankan dan kewangan, pembinaan, pertanian, utiliti dan lain-lain lagi," katanya pada majlis pelancaran 'Ericsson Imagine Live Malaysia 2023', dengan tema 'Accelerating a Digital Malaysia with 5G' di sini, hari ini.

Mengenai liputan 5G di negara ini, Fahmi berkata, rangkaian itu kini meliputi 68.8 peratus di kawasan berpenduduk.

Beliau berkata, Malaysia berada dalam landasan untuk mencapai sasaran 80 peratus liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2023 sebelum beralih kepada model rangkaian dwi.

Fahmi berkata, pelaburan dalam infrastruktur digital telah menjadi keutamaan di Malaysia, seperti yang ditunjukkan oleh usaha penting yang dilakukan untuk meningkatkan ketersambungan jalur lebar dan pelancaran berterusan rangkaian 5G Digital Nasional Bhd (DNB) di seluruh negara.

Beliau berkata, 5G akan menjadi pemboleh kritikal untuk mengubah kehidupan perniagaan dan pengguna di Malaysia.

Katanya, pendigitalan berpotensi untuk mengubah ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua orang dan rangkaian 5G akan berfungsi sebagai lebuh raya digital untuk melengkapkan pelan induk perindustrian yang bertujuan untuk mempercepatkan penggunaan teknologi dan pendigitalan.

"Rangkaian 5G yang sedang dilancarkan di Malaysia telah menerima banyak pujian, termasuk daripada Opensignal dan Ookla yang mengatakan Malaysia telah menjadi peneraju global dalam sambungan 5G dengan rangkaian yang pantas dan boleh dipercayai serta telah mencapai keputusan cemerlang dalam melaksanakan dan menyampaikan pengalaman 5G yang hebat untuk pengguna," katanya.

Fahmi berkata, pendigitalan juga perlu menjadi sebahagian rancangan pembangunan dan kedaulatan negara, malah ia juga adalah alat yang Malaysia mesti kuasai untuk menjadi Harimau Digital Asia dan menjadikan kehadiran negara dirasai.

Beliau berkata, teknologi sedemikian perlu disepadukan ke dalam proses pembuatan bagi menjadikan negara sebagai destinasi pelaburan menarik.

"Teknologi tidak menunggu dan jika kita teragak-agak, pesaing kita akan dapat menghasilkan produk berkualiti tinggi pada kos yang lebih rendah, yang akan menjadikan Malaysia kurang berdaya saing di peringkat global," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.