Kekal atau tukar model rangkaian borong tunggal 5G diumum bulan depan

26 Feb 2023 - Berita Harian


PETALING JAYA: Kerajaan akan memuktamadkan sama ada kekal menggunakan model rangkaian borong tunggal (SWN) bagi pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G atau sebaliknya, sebelum hujung bulan depan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata itu antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan syarikat Digital Nasional Bhd (DNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan semua syarikat telekomunikasi tempatan, semalam.

Katanya, semua pihak yang hadir dalam pertemuan itu menyatakan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan 5G berdasarkan garis panduan yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu.

"Matlamat yang ingin dicapai ialah capaian menyeluruh rangkaian 5G sehingga 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang hujung 2023 serta harga berpatutan untuk rakyat. Ini menjadi garis panduan kepada kementerian yang mengawal selia aktiviti DNB.

"Susulan pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan akan umumkan hala tuju pelaksanaan 5G sebelum hujung Mac kerana pengumuman tempoh hari belum secara spesifik, dan semua syarikat telekomunikasi menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut.

"Saya percaya dalam beberapa hari dan minggu akan datang, kita akan dapat capai kata putus sama ada kita kekal dengan SWN atau pun tidak serta apakah bentuk hubungan antara DNB dengan syarikat telekomunikasi.

"Harapan saya ialah sebelum hujung Mac kita akan umumkan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil pertemuannya dengan DNB dan semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi semalam, yang membincangkan mengenai liputan 5G di negara ini.

Kelmarin, Fahmi dilaporkan memaklumkan akan mengadakan pertemuan itu yang antara lain membincangkan bagaimana DNB boleh diuruskan secara lebih telus dan terbuka.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Anwar memaklumkan Kerajaan Perpaduan mengambil pendekatan supaya DNB diuruskan dengan lebih telus dan terangkum supaya mencapai penyertaan penuh oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Fahmi memaklumkan semua syarikat telekomunikasi antaranya CelcomDigi, Maxis, YTL, U Mobile dan Telekom Malaysia (TM), selain DNB dan SKMM.

Dalam pertemuan yang mengambil masa sekitar satu jam setengah itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyampaikan garis panduan dan hasrat kerajaan dalam merangka hala tuju pelan 5G negara, yang memerlukan keterlibatan semua penyedia perkhidmatan komunikasi.

"Saya sampaikan garis panduan dan hasrat kami untuk meneruskan beberapa perbincangan yang agak teknikal dan terperinci berdasarkan apa yang Perdana Menteru telah umumkan.

"Juga mengenai keperluan DNB diurus secara telus dan keterlibatan secara terangkum dengan semua syarikat

telekomunikasi," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.