Keputusan Maxis sertai DNB bukti keberkesanan kos laksana 5G

24 Jul 2023 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Keputusan Maxis Bhd untuk membeli kepentingan dalam pengendali rangkaian 5G, Digital Nasional Bhd (DNB), menunjukkan pengiktirafan peserta industri terhadap keberkesanan kos platform itu dengan mereka mempunyai hak akses sama rata, menurut penyelidikan risiko dan industri negara oleh BMI.

BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, menjelaskan semua syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian dilihat menyedari bahawa menggabungkan pelaburan mereka dalam satu platform bersama adalah lebih menjimatkan kos selain semua pihak akan mempunyai hak akses sama rata daripada setiap mereka membina rangkaian berasingan dan merundingkan perjanjian kesalinghubungan yang mahal.

"Kenaikan inflasi, yang dijangka membebankan perniagaan mudah alih sedia ada mereka, mungkin mendorong kesemua lima pengendali membuat keputusan itu," tambahnya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), U Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan rundingan pemilikan saham dalam DNB dan menyokong pembangunan rangkaian 5G sehingga mencapai liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir tahun ini.

Beliau berkata, berdasarkan komitmen yang diberikan sebelum ini, Maxis telah memulakan proses menandatangani perjanjian capaian 5G dengan DNB selepas beberapa isu berkaitan perkara itu dimuktamadkan pada 11 Julai lalu.

BMI memaklumkan langkah kerajaan untuk membuka ekuiti DNB kepada pengendali bermakna mereka kini mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi proses membuat keputusan komersial DNB mengenai pemilihan vendor, jadual penempatan infrastruktur serta penetapan tarif runcit dan borong.

"Persetujuan Maxis yang berat hati menyertai pesaingnya iaitu TM, CelcomDigi, U Mobile dan YTL dalam mengambil tempat dalam DNB menunjukkan ia melihat bahawa tiada manfaat untuk terus melobi kerajaan supaya membatalkan skim DNB dan sebaliknya membenarkan pengendali membina rangkaian 5G mereka sendiri," katanya.

Menurut BMI, situasi itu juga menunjukkan Maxis sama ada melihat sedikit nilai dalam menyertai rangkaian 5G kedua yang dicadangkan atau tidak percaya bahawa perniagaan sedemikian akan berdaya maju secara komersial memandangkan sokongan pesaingnya terhadap platform asal.

BMI juga mencadangkan platform 5G kedua yang akan diwujudkan tidak lama lagi boleh ditetapkan semula sebagai rangkaian neutral pembawa dengan peserta yang lebih kecil dan penyedia perkhidmatan maya boleh mendaftar.

"Kami kini menjangkakan bilangan sambungan 5G Malaysia mencecah 33.8 juta menjelang 2032, mewakili 75.3 peratus daripada jumlah asas pengguna mudah alih.

"Walaupun kebanyakan sambungan ini adalah menerusi telefon pintar yang dikendalikan manusia dan peranti yang serupa, jumlah yang semakin meningkat dijangka daripada berasaskan mesin, menyokong penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT)," jelasnya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.