Kerajaan Sarawak terus komited tingkat kemudahan infrastruktur

11 Jun 2023 - Utusan Borneo


KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited untuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur khususnya di semua kawasan luar bandar termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, antara kemudahan yang akan dipertingkatkan itu seperti bekalan elektrik, air dan liputan telekomunikasi.

“Untuk makluman, sekarang Pekan Sebuyau dan Sebangan serta semua kampung dan rumah panjang di kawasan ini sudah dapat dihubungi melalui jalan raya.

“Kecuali Kampung Sungai Ijok yang sudah diluluskan peruntukan untuk membina jalan dan jambatan menghubungkan kampung berkenaan, namun kini hanya menunggu pelaksanaan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ngabang Gawai dan Ziarah UKAS 2023 di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Kakus Ensika, Sebuyau pada Sabtu.

 

Bagi jalan pesisir di Sebuyau pula, Julaihi berkata, ia akan disambungkan dengan jalan utama kedua melalui kawasan sebelah belakang Kampung Entangor ke Jambatan Batang Sadong.

“Maknanya dengan pembinaan jalan ini, ia  secara tidak langsung membolehkan Sebuyau dapat dihubungkan dengan kawasan Lingga,” ujarnya.

Selain itu, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, konstituensinya itu telah dibekalkan dengan bekalan elektrik 24 jam.

“Bagaimanapun, kita masih berusaha untuk menyambung bekalan elektrik kepada rumah-rumah baharu yang dibina sebab banyak rumah baharu telah didirikan dari masa ke masa,” katanya.

Ujarnya, sebanyak 49 projek Program Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) telah disenaraikan untuk dilaksanakan secara berperingkat bagi DUN Sebuyau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sebanyak sembilan menara baharu 4G yang dirancang di kawasan itu melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 yang kini sedang giat dilaksana.

“Ia dijadualkan siap serta beroperasi secara berperingkat sehingga suku keempat 2023.

“Selain itu, terdapat empat tapak projek Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) telah beroperasi di kawasan DUN Sebuyau yang sekali gus memberi perkhidmatan kepada 443 buah isi rumah,” katanya.

Untuk DUN Sebuyau juga, tambahnya, Telekom Malaysia (TM) telah menyediakan sebanyak 520 port unifi dan setakat hari ini seramai 152 pelanggan telah menikmati perkhidmatan tersebut.

Mengenai majlis itu, Julaihi berkata, perayaan gawai tahun ini dengan tema ‘Segulai Sejalai’ amat bermakna memandangkan sambutannya seiring dengan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Sarawak.

Menurut beliau, ia memberikan peluang kepada rakyat terutama penduduk pelbagai kaum di kawasan ini untuk menghargai warisan, budaya dan kebebasan di Sarawak.

Pada majlis tersebut, Julaihi turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membaik pulih jalan di Kampung Sungai Kakus Ensika.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Gawai kepada 100 penerima asnaf terpilih di kawasan Sebuyau.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.