Kerajaan perlu terbit kajian kebolehlaksanaan pemilihan model SWN

18 Feb 2022 - Sinar Harian


SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan untuk menerbitkan kajian kebolehlaksanaan yang mewajarkan pemilihan model rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan rangkaian 5G dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tricia Yeoh berkata, mereka perlu lebih telus berhubung kos jangka panjang model tersebut kepada orang ramai berbanding dengan membolehkan pasaran kompetitif yang saling berkaitan.

Katanya, IDEAS menghargai bahawa untuk memastikan kebolehramalan pengawal seliaan, kerajaan tidak mampu untuk meninggalkan model SWN yang telah dilaburkan secara besar-besaran.

Beliau berkata, bagaimanapun, langkah-langkah pengurangan risiko adalah perkara utama yang perlu dilakukan dengan segera untuk bergerak ke hadapan.

“Penerbitan kajian kebolehlaksanaan dan perbincangan penting untuk memberikan bukti mengenai kedudukan kerajaan dalam mengembalikan dasar Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang telah lama dipegang bagi membolehkan persaingan pasaran di peringkat infrastruktur dan runcit.

“Ini memandangkan model SWN lain dari seluruh dunia masih belum berjaya sehingga kini. Adalah penting bahawa amalan terbaik antarabangsa dirujuk,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Tricia berkata, kerajaan perlu menyediakan justifikasi dakwaan bahawa model SWN akan menghasilkan harga yang lebih murah dan penggunaan lebih cepat.

Menurutnya, ia kerana satu entiti milik kerajaan memerlukan sumber yang tinggi untuk melancarkan infrastruktur secara serentak berbanding pesaing pasaran.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.