Kerajaan umum peralihan dwirangkaian 5G dalam tempoh sebulan
10 Jan 2024 - Buletin TV3
PUTRAJAYA: Kerajaan bakal mengumumkan peralihan daripada rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian bagi pelaksanaan 5G dalam tempoh sebulan.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, keputusan itu susulan rangkaian 5G di liputan kawasan berpenduduk (CoPA) di negara ini telah mencapai 80.2 peratus setakat 31 Disember lalu.
Dalam sidang media di sini hari ini, beliau merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia akan terlebih dahulu bermesyuarat pada Jumaat ini bagi menentukan hala tuju dan langkah seterusnya.
“Keputusan daripada Pasukan Petugas itu akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri dan kita jangka dalam tempoh yang tidak terlalu lama pihak kerajaan akan menimbangkan untuk mengumum peralihan dari satu rangkaian borong menjadi dwirangkaian,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Ujarnya, mesyuarat Pasukan Petugas itu akan dipengerusi bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa bersama Digital Nasional Berhad (DNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang telah menandatangani perjanjian langganan saham (SSA).
Selain itu, jelas beliau, rangkaian kedua akan diwujudkan sekiranya beberapa syarat atau perkara yang dipersetujui melalui pasukan tersebut dicapai.
Mengulas lanjut, Fahmi secara peribadi berbangga dengan DNB yang berusaha mencapai sasaran rangkaian 5G melebihi 80 peratus CoPA menjelang hujung tahun lalu.
“Setakat 31 November 2023, CoPA seluruh negara adalah pada kadar 76 peratus. Bermaksud pada Disember, setelah ditandatangani SSA, pegangan ekuiti oleh syarikat MNO pada bulan terakhir, lebih empat peratus sudah dicapai berbanding bulan-bulan sebelumnya sekitar dua hingga tiga peratus,” katanya.