Kini jualan makin kencang!

04 Apr 2022 - Harian Metro


Lipis: Sejak puluhan tahun lalu, perniagaan gula kabung Pak Abu hanya terkenal dalam kalangan penduduk sekitar dan berhampiran Kampung Peruang di sini, kerana keenakan pemanis makanan itu yang dihasilkan secara tradisional menggunakan air nira pokok kabung.

Namun kini, perniagaan yang diusahakan sejak 45 tahun lepas oleh Abu Johar Sudin, 65, sudah menambat hati pelanggan luar daripada daerah ini apabila ia mula rancak dipromosikan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai platform media sosial selepas capaian internet di kawasan itu bertambah baik.

Anak bongsu Abu Johar, Marzaitul Husna, 28, yang membantu perniagaan bapanya bersama abangnya Mohd Azizul, 31, berkata mereka kini aktif mempromosikan produk itu menerusi pelbagai aplikasi dan tidak menjangkakan akan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Katanya inisiatif itu dapat dilakukan selepas perkhidmatan 4G dilaksanakan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa satu (2020-2022) sehingga mereka sekeluarga kini tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan yang diterima dari seluruh negara.

"Sebelum ini perniagaan dikenali hanya dari mulut ke mulut, tetapi selepas capaian internet bertambah baik tahun lepas, kami memang banyak terima tempahan sehingga bahan mentah air nira tidak mencukupi, untuk menghasilkan gula kabung.

"Tempahan memang meningkat lebih sekali ganda, jika dahulu kami hasilkan 200 buku sebulan, sekarang hampir 500 buku (setiap satu buku mengandungi dua keping gula kabung)," katanya.

Menurut Marzaitul Husna, beliau menggunakan platform e-dagang seperti Shopee selain Facebook, Instagram, Tiktok dan WhatApps untuk mengetengahkan gula kabung yang sering digunakan untuk menghasilkan hidangan pencuci mulut seperti cendol dan kuih-muih.

Selain itu, beliau juga kini mula mengembangkan perniagaan keluarganya dengan menjual sambal hitam yang dikomersialkan dengan jenama Sambal Hitam Atun di platform berkenaan dengan harga bermula serendah RM5 hingga RM100.

Sementara itu, Abu Johar atau dikenali sebagai Pak Abu berkata, beliau sudah mengusahakan perniagaan tersebut sejak berusia 20 tahun dengan pendapatan diperoleh digunakan untuk menyara persekolahan tujuh anaknya.

"Permintaan memang banyak sekarang, tambahan nak bulan puasa dan raya, nak tolak tempahan memang saya tak sampai hati, ada yang sanggup datang ke rumah pun untuk membeli gula kabung ini," katanya yang menjual sebuku gula kabung dengan harga RM7.

Seorang lagi penduduk Kampung Peruang, di sini, Khairul Azmi Kamaruddin, 34, berkata dengan liputan internet bertambah baik selepas menara dinaik taraf, ia memudahkan anak kampung berkenaan menghantar tugasan universiti mereka.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan, beliau dan beberapa penduduk kampung lain bergotong-royong membina sebuah pondok yang dijadikan 'pusat internet', di kawasan yang mendapat liputan lebih baik.

"Kami kasihan melihat kekangan internet menyukarkan pelajar menghantar tugasan kepada pensyarah mereka, jadi kami buat pondok yang terletak di kawasan berbukit sedikit supaya internet lebih stabil dan lancar untuk mereka.

"Sebelum ini saya juga ada membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan lega apabila mereka siap menaik taraf menara sekitar November tahun lepas bagi membolehkan kami menikmati kemudahan internet," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.