Liputan 4G di Malaysia hampir cecah 96.9 peratus
08 Mac 2022 - Berita Harian
KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian mudah alih, Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd terus bekerjasama untuk mencapai sasaran mengikut pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), di samping berada di landasan dalam usaha memperluas liputan 4G kepada 96.9 peratus.
Menurut kenyataan bersama kesemua pengendali itu, sasaran 2021 yang dicapai adalah termasuk liputan 4G, naik taraf tapak pangkalan serta pembinaan menara 4G baharu.
"Kemajuan ini menunjukkan rekod kerjasama yang kukuh antara pengendali, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta agensi berkaitan untuk memperluas liputan dan mengukuhkan kualiti pengalaman jalur lebar rakyat," menurut keempat-empat pihak itu.
Pengendali itu juga menambah, pencapaian mereka di bawah JENDELA pada 2021 adalah termasuk 13,807 naik taraf stesen pangkalan kepada 4G dan 250 menara 4G baharu untuk perluasan liputan yang mencapai 95.4 peratus populasi 4G, melebihi sasaran 2021.
Pelan JENDELA, yang tersedia di http://jendela.my, juga membolehkan pengguna mudah alih antaranya menghantar maklum balas, menyemak liputan mereka dan meneliti laporan rangkaian daripada rakan pengguna.
Pengendali itu juga menjelaskan, gabungan kepakaran serta rantaian bekalan selama beberapa dekad, dan kerjasama antara pengendali rangkaian mudah alih berperanan penting dalam membolehkan pelaksanaan liputan mudah alih yang lancar, terutama bagi usaha menangani cabaran kolektif untuk penempatan infrastruktur mudah alih di kawasan luar bandar dan pedalaman.
"Perkongsian infrastruktur, menara dan lebar jalur antara pengendali rangkaian mudah alih adalah lazim dan diamalkan secara meluas di Malaysia sejak 2005, serta dalam perkongsian rangkaian radio sejak Perayauan Domestik 2G (suara) untuk kapasiti lebar jalur hingga perkongsian 3G (suara dan data) serta kini, 4G MOCN (Rangkaian Teras Operator Berbilang).
"Kerjasama 2G/3G dilaksanakan khusus bagi kawasan terpencil dan kini perkongsian 4G MOCN dipercepatkan untuk meluaskan liputan di bawah program JENDELA," jelasnya.
Celcom Axiata, Digi, Maxis dan U Mobile menjelaskan, kerjasama peluasan liputan 4G kawasan pedalaman mengikut Fasa Satu JENDELA memerlukan perkongsian serta sumber minimum daripada pengendali rangkaian mudah alih, sekali gus mempunyai kapasiti 5G serta keupayaan untuk mengutamakan pelaksanaannya dengan berkesan.
Menurut keempat-empat pihak itu, MOCN adalah mekanisme perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN) yang membolehkan pengendali rangkaian mudah alih berbilang berkongsi RAN atau liputan mudah alih yang sama.
"Melalui kaedah ini, syarikat telekomunikasi dapat meningkatkan liputan rangkaian dengan memanfaatkan tapak sedia ada antara mereka serta peralatan radio.
"Pelaksanaan MOCN bagi 3G dan 4G menunjukkan kebolehlaksanaan perkongsian 5G untuk memacu liputan rangkaian," menurutnya.
Keempat-empat pengendali rangkaian mudah alih itu juga menambah, ketika Malaysia bersedia untuk pelaksanaan 5G sebagai sebahagian daripada aspirasi MyDIGITAL, infrastruktur gentian yang lebih padat diperlukan untuk mencapai prestasi utama 5G.
Prestasi utama itu meliputi kependaman rendah, kelajuan data yang lebih tinggi, kebolehpercayaan yang sangat tinggi dan kapasiti untuk mengurus lebih banyak sambungan peranti, menurutnya.