Liputan 4G di Selangor capai 99.87% suka pertama 2023, kata Fahmi

09 Jul 2023 - The Malaysian Insight


LIPUTAN jalur lebar mudah alih 4G di Selangor kini mencapai 99.87 peratus di kawasan berpenduduk dengan purata kelajuan mudah alih mencecah 55.96 Mbps (megabit sesaat) setakat suku pertama tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata liputan jalur lebar menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa satu juga menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dengan 17 menara komunikasi baharu dirancang siap didirikan menjelang akhir tahun ini. 

“(Daripada jumlah itu) 11 daripadanya siap dan dalam tindakan pihak penyedia telekomunikasi untuk pemasangan peralatan komunikasi. Namun saya menerima maklumat pagi tadi daripada 11 menara itu, lapan lagi belum ‘on air’.

“Saya akan melawat satu daripada lapan (menara) ini dalam jangka masa terdekat. Kalau saya dapati tidak ada perancangan segera untuk mengaktifkan menara ini maka bersedialah. Jadi saya minta disegerakan,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada majlis Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di PEDi Kanchong Darat di Banting hari ini.

Pada masa sama beliau berkata sehingga kini sebanyak 8,457 stesen pemancar siap dinaik taraf kepada rangkaian 4G manakala hanya 19 stesen lagi masih dalam peringkat pelaksanaan.

 

Fahmi juga berkata beliau akan berbincang dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk melipat ganda usaha mereka mempromosikan Pakej Perpaduan prabayar dan jalur lebar yang diumumkan kementerian sebelum ini khususnya di kedai yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

“Februari lalu kerajaan mengumumkan Pakej Perpaduan prabayar dan pada Mac kami umumkan Pakej Perpaduan untuk jalur lebar. Kalau tuan puan tidak tahu, maklum pada saya, saya akan ‘call’ semua CEO (ketua pegawai eksekutif) telco kenapa tidak uar-uarkan manfaat kepada rakyat (untuk dapat Internet yang murah),” katanya.

Kementerian Komunikasi dan Digital sebelum ini memperkenalkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih atau dikenali sebagai Pakej Perpaduan bernilai RM30.

Dalam pada itu katanya sebanyak 28 kemudahan gentian optik ‘Point of Presence’ atau titik kehadiran (PoP) disiapkan dan sedia untuk dilanggan oleh sekurang-kurangnya 2,912 premis bagi memperluas jaringan liputan infrastruktur jalur lebar.

Menurut Fahmi 226 inisiatif PoP dirancang untuk dibangunkan di negeri itu melibatkan 52 PoP untuk fasa pertama dan 174 PoP dilaksanakan dalam fasa kedua.

Dalam perkembangan lain Fahmi berkata menerusi Program Saya Digital yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lepas ia memberi manfaat kepada kira-kira 16,081 orang peserta seluruh negara dengan 3,195 daripadanya adalah rakyat Selangor.

Katanya program tersebut  bergerak secara fizikal di hampir 40 lokasi seluruh negara dengan lima di Selangor bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk menerima guna teknologi khususnya bagi golongan B40, warga emas dan pelajar dalam meningkatkan kemahiran digital mereka. – Bernama, 9 Julai, 2023.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.