Liputan 4G di Selangor kini 99.87 peratus - Fahmi
BANTING, 9 Julai- Liputan jalur lebar mudah alih 4G di Selangor kini mencapai 99.87 peratus dengan purata kelajuan mudah alih mencecah 55.96 megabit sesaat (Mbps), setakat suku pertama tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, liputan jalur lebar menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu juga mencatat pencapaian memberangsangkan dengan sebanyak 17 menara komunikasi baharu dijangka siap didirikan menjelang akhir tahun ini.
Beliau turut menyeru syarikat telekomunikasi terlibat mempercepatkan pengoperasian menara berkenaan untuk manfaat rakyat sekitar.
"11 daripadanya telah siap dan dalam tindakan pihak penyedia telekomunikasi untuk pemasangan peralatan komunikasi. Namun saya telah menerima maklumat pagi tadi daripada 11 menara itu, lapan lagi belum 'on air'.
"Saya akan melawat satu daripada lapan (menara) ini dalam jangka masa terdekat. Kalau saya dapati tidak ada perancangan segera untuk mengaktifkan menara ini, maka bersedialah. Jadi saya minta disegerakan," katanya ketika berucap pada Program Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di PEDi Kanchong Darat, di sini.
Program berkenaan merupakan salah satu daripada rangka lawatan kerja sehari beliau ke Selangor hari ini bagi bertemu masyarakat setempat.