Liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah meningkat 88.06 peratus

29 Nov 2022 - Berita RTM


KOTA KINABALU, 29 November- Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah setakat suku pertama 2022 meningkat kepada 88.06 peratus, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah Datuk Seri Dr Ruddy Awah berkata angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku kedua 2020.

Beliau berkata setakat suku ketiga 2022 pula, sebanyak 154 daripada 611 buah menara baharu yang dirancang telah siap dibina manakala 3,810 buah menara telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G daripada 3,984 buah menara dirancang.

“Bagi inisiatif perluasan perkhidmatan jalur lebar talian tetap, sebanyak 134,116 daripada 251,165 premis telah disediakan sambungan gentian optik berkelajuan gigabit.

"Kerajaan juga melaksanakan 138 buah projek jalur lebar satelit yang telah siap beroperasi sepenuhnya pada April 2022 untuk memastikan capaian internet laju dan lancar di kawasan luar bandar serta pedalaman," katanya menjawab soalan lisan Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) mengenai status naik taraf perkhidmatan telekomunikasi negeri Sabah.

Ruddy berkata projek di bawah JENDELA Fasa 1 yang bermula sejak Sept 2020 dijangka siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun ini.

Beliau berkata bagi melengkapkan program JENDELA, KSTI juga memasang kemudahan internet teknologi satelit atau terminal Apertur Sangat Kecil (VSAT) di 24 lokasi.

Katanya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) turut meluluskan pemasangan 300 rangkaian VSAT pada tahun depan yang membuktikan hubungan erat antara KSTI dan K-KOMM dalam memastikan kesalinghubungan internet termasuk infrastruktur digital Sabah diperkasa.

Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan negeri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata sejak 2020 hingga 2022, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM248,289,780.48 melibatkan 1,969 projek bagi meningkatkan kualiti prasarana sekolah di negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri menyedari bahawa masih wujud keperluan penyelenggaraan dan baik pulih di sekolah-sekolah di Sabah malah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN) menganggarkan keperluan mempertingkatkan prasarana sekolah pada tahun depan dijangka mencecah ratusan juta ringgit.

"Namun secara realistiknya, JPN tidak dapat menyediakan peruntukan kepada 1,297 sekolah di negeri ini, justeru JPN sentiasa meneliti dan menyusun strategi dan merancang keutamaan kerja selenggara," katanya menjawab soalan lisan Datuk Anwar Ayuub (PN-Liawan) bertanya tentang usaha meningkatkan kualiti prasarana sekolah di negeri ini.- BERNAMA


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.