Liputan 4G di kawasan berpenduduk di Song meningkat

23 Mei 2022 - Utusan Borneo


KUCHING: Kadar liputan 4G di kawasan berpenduduk di daerah Song meningkat kepada 32.04 peratus pada suku pertama 2022 berbanding 26.02 peratus pada suku keempat 2021. 

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang berkata, peratusan tersebut dijangka akan terus meningkat terutama selepas siap kesemua inisiatif SMART dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada tahun depan. 

“Terdapat pelbagai inisiatif dilaksanakan di bawah inisitiaf SALURAN merangkumi penyelesaian interim dan kekal bagi perkhidmatan Internet. 

“Bagi penyelesaian interim, terdapat empat rumah panjang telah disediakan dengan perkhidmatan WiFi percuma iaitu di Rumah Guntor Takan, Song; Rumah Lucy, Ng Lanang, Tekalit; Rumah Sidi, Ng Nayai Uku Katibas dan Rumah Api, Ng Terusa Ulu Katibas melalui teknologi satelit di bawah inisiatif WiFi SALURAN. 

“Bagi penyelesaian kekal, tiga menara 4G telah dibina di bawah SMART Fasa 1 iaitu di Ng Lanang dan Ng Barok di Tekalit, Song dan Ng Banjor, Song,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan daripada Lidam Assan (GPS-Katibas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Tambah Liwan, 49 lokasi di kawasan Katibas telah disediakan dengan perkhidmatan Internet melalui kaedah penyelesaiaan interim di bawah inisiatif jalur lebar satelit JENDELA. 

Selain itu, sebanyak 19 menara baharu 4G di bawah inisiatif JENDELA akan dibina di kawasan Katibas yang kini di pelbagai peringkat pelaksanaan. 

Dalam pada itu di bawah JENDELA Fasa 1, beberapa inisiatif untuk menambah baik kualiti dan liputan telekomunikasi telah dilaksanakan di Katibas. 

Antaranya menaik taraf 14 stesen pemancar daripada perkhidmatan 3G kepada 4G (sembilan telah siap dan lima dijangka siap pada suku keempat 2022). 

Lagi inisiatif dilaksanakan perluasan liputan rangkaian gentian optik meliputi 110 premis yang sedang dalam pelaksanaan.

Manakala di bawah SMART, 15 menara telekomunikasi akan dibina dengan dua daripadanya sudah siap dan baki 13 lagi di pelbagai peringkat pelaksanaan. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.