Liputan 4G meningkat 73.41% di kawasan berpenduduk

25 Jun 2023 - Berita RTM


KOTA KINABALU, 25 Jun- Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah meningkat kepada 90.45% berbanding 73.41% sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku kedua tahun 2020.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata, setakat suku pertama 2023, sebanyak 180,346 daripada 303,569 premis di Sabah telah tersedia dengan gentian optik berkelajuan gigabit.

"Masih ada hampir 10% kawasan berpenduduk yang tidak ada liputan 4G ini. Jadi sekarang memang menjadi fokus untuk KKD dan bawah KKD kami ada beberapa projek salah satu projek yang kita panggil JENDELA.

"Bawah JENDELA Fasa 1 itu memang dua syarikat telah dilantik untuk mendirikan 398 menara baharu di seluruh Sabah," katanya ketika ditemubual di Konti Sabahfm, Kota Kinabalu selepas perjumpaan bersama Ketua-ketua Jabatan dan agensi bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Sabah.

Dalam perkembangan sama, Teo memaklumkan, bagi liputan 5G di Sabah, 29.9% kawasan berpenduduk telah menerima perkhidmatan tersebut menerusi 257 menara yang telah disiapkan, daripada 622 jumlah keseluruhan menara yang dicadang dibina di negeri ini.

Terdahulu, Teo mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Sri Gaya, di sini.

Dalam perkembangan lain, Teo memaklumkan, 13 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) baharu akan diwujudkan di Sabah, tahun ini.

Tender projek berkenaan akan dikeluarkan pada September dan dijangka siap, penghujung tahun ini.

Pewujudan PEDi merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menjayakan wawasan sekurang-kurangnya satu PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah, sebelum akhir tahun ini.

"Saya datang ke PEDi ini saya cukup berbangga ada makanan yang dijual sampai ke Brunei.

"Jadi saya rasa ini potensi untuk e-dagang berkembang dengan adanya kemudahan internet. Jadi produk mereka boleh jual," katanya.

PEDI berperanan sebagai Pusat Sehenti yang menyediakan capaian Internet secara kolektif kepada masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.