Liputan internet 97% di kawasan berpenduduk, tumpu di kawasan lain
KUALA LUMPUR, 20 Mac- Kementerian Komunikasi dan Digital, KKD akan meneruskan usaha memastikan kualiti perkhidmatan internet akan disediakan dengan melihat isu seperti kelopongan liputan bagi menambah baik 'Standard Kualiti' dan 'Kualiti Pengalaman' seperti di lebuh raya, dalam
bangunan, dan di stadium.
Ia setelah melihat capaian internet yang telah mencecah 97% untuk kawasan berpenduduk.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, liputan baki 3% kawasan berpenduduk akan menjadi fokus utama bagi Pelan Jalinan Digital Negara, JENDELA Fasa 2 (2023-2025), termasuk ketersediaan sambungan gentian optik kepada 9 juta premis di seluruh negara dapat dicapai pada penghujung tahun 2025.
"Pelaksanaan 5G yang pada asalnya dirancang bawah JENDELA Fasa 2 (2023-2025) telah diawalkan pada Fasa 1, iaitu penghujung 2021. Pelaksanaan 5G yang dikendalikan Digital Nasional Berhad (DNB) kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Setakat Februari 2023, sebanyak 4,363 tapak 5G telah siap dibangunkan di seluruh negara. Dengan jumlah tersebut, ketersediaan rangkaian 5G telah mencapai 54.7% populasi dalam kawasan berpenduduk, dengan sasaran 80% di kawasan berpenduduk menjelang hujung tahun 2023,"katanya.
Tambahnya lagi, inisiatif JENDELA yang merangkumi dua fasa mula dilaksanakan pada September 2020 yang mana pelaksanaan JENDELA Fasa 1 (2020- 2022) telah menunjukkan pencapaian yang cukup memberangsangkan.
Fahmi menjelaskan kepada media selepas mengumumkan kejayaan JENDELA memenangi anugerah di persada antarabangsa, World Summit on the Information Society Prizes 2023 (WSIS Prizes 2023) di Geneva, Switzerland pada 14 Mac 2023.