Liputan telekomunikasi di Kampung Lebur Jaya ditambah baik: MCMC

12 Feb 2023 - The Sun Daily


GUA MUSANG: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menambah baik liputan telefon dan capaian Internet di Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis, dekat sini.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah ke kampung berkenaan pada Jumaat lepas bagi memahami dan menjelaskan isu liputan di kawasan tersebut kepada pengadu.

“MCMC mengambil maklum isu talian telefon dan capaian Internet lemah di Kampung Lebur Jaya seperti yang dilaporkan oleh beberapa agensi berita pada 9 Feb 2023.

“Terdapat menara 4G sedia ada kira-kira 2.3 kilometer dari lokasi pengadu. Bentuk muka bumi yang berbukit-bukau di kawasan pengadu menyebabkan lokasi berkenaan mendapat liputan 4G yang lemah dari menara berkenaan,“ menurut kenyataan itu.

Menurut MCMC Kampung Lebur Jaya juga telah dimasukkan dalam senarai Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.

“MCMC telah mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan untuk berusaha menambah baik liputan dari menara sedia ada,“ menurut kenyataan itu.

Pada Khamis lepas, media melaporkan lebih 100 penduduk di Kampung Lebur Jaya terpaksa berdepan dengan masalah talian telefon dan capaian Internet yang lemah sejak 10 tahun lepas.

Penduduk mendakwa masalah berkenaan bermula selepas bencana banjir besar berlaku pada 2014 dan berterusan sehingga kini menyebabkan mereka terpaksa ke tempat yang lebih tinggi untuk mendapatkan talian. -Bernama


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.