MCMC laksana 3 langkah atasi isu capaian internet kampung Orang Asli

14 Jan 2023 - Berita Harian


KUALA LUMPUR - Tiga penyelesaian diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengatasi isu capaian internet di petempatan Orang Asli Pos Bihai dan Pos Balar di Gua Musang, Kelantan. 

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan penyedia perkhidmatan jalur lebar Wi-Fi melalui satelit (BWA), Numix Engineering Sdn Bhd bersetuju dan komited untuk meningkatkan kuota penggunaan internet percuma sedia ada daripada 8 GB kepada 12 GB setiap bulan. 

"Peningkatan kuota itu bagi setiap pengguna dan sudah dimulakan pada 7 Januari lalu," kata Suruhanjaya berkenaan. 

MCMC dan pemilik menara pemancar berkaitan, iaitu CelcomDigi juga merancang menambah kapasiti "backhaul" 'Very Small Aperture Terminal (VSAT)' bagi setiap pemancar sedia ada di Kampung Tandrik, Pos Belatin dan Pos Balar dari 4 Mbps kepada 10 Mbps secara sementara. 

"Pendekatan jangka sederhana ini dijangka siap dalam suku kedua 2023, tetapi ia sementara kerana terdapat perancangan komprehensif untuk menaiktaraf penggunaan VSAT ini dengan gentian optik yang lebih stabil serta berkapasiti tinggi oleh CelcomDigi yang dijangka siap Mei 2024.

"Bagi penyelesaian jangka panjang, MCMC dengan kerjasama CelcomDigi sedang meneliti pelan perancangan untuk membangunkan satu menara telekomunikasi berdekatan Pos Bihai dan satu lagi struktur pemancar di Dakoh dengan 'backhaul' gentian optik. 

"Ia sebagai penyelesaian tetap bagi memastikan penduduk di kawasan-kawasan terbabit dapat menikmati perkhidmatan mudah alih dalam masa yang terdekat,"menurut kenyataan itu. 

Sebelum ini, BH online pada 3 Januari lalu melaporkan isu capaian internet di kedua-dua perkampungan berkenaan yang dianggarkan sejauh 300 kilometer (km) dari Kota Bharu di mana akses untuk ke petempatan itu agak sukar kerana melalui jalan tidak berturap dan berbukit sehingga 70km. 

Bagaimanapun, ia sudah berjaya diatasi di mana gangguan perkhidmatan telekomunikasi di Pos Balar didapati berpunca daripada gangguan bekalan elektrik yang menggunakan penjana kuasa pada menara telekomunikasi di Pos Balar.

Gangguan itu berpunca daripada penjana kuasa yang kehabisan diesel berikutan kejadian tanah runtuh oleh faktor cuaca yang menyukarkan penghantaran bekalan bahan api ke menara itu. Namun, ia sudah berjaya diaktifkan pada 5 Januari lalu. 

Mengenai keperluan penambahbaikan capaian internet, MCMC memaklumkan, di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1, perkhidmatan jalur lebar Wi-Fi melalui satelit (BWA) sudah disediakan di Pos Bihai dan Dakoh berhampiran Pos Balar.

"Ia bagi membolehkan komuniti setempat dapat menikmati akses internet secara percuma dengan had kuota penggunaan. Tujuan kuota ini untuk memastikan semua pengguna boleh menikmati perkhidmatan BWA secara saksama dan pada tahap kualiti perkhidmatan yang berpatutan. 

"MCMC akan terus memantau tindakan dan mengambil langkah susulan agar masalah capaian internet dapat ditangani dengan menyeluruh,"menurut Suruhanjaya itu. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.