MCMC tingkat liputan komunikasi di Kampung Orang Asli Bersah, Kuala Mu
18 Sep 2023 - Berita Harian
SUNGAI SIPUT: Penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Bersah, Pos Kuala Mu di sini tidak perlu lagi menempuh perjalanan sejauh 19 kilometer (km) hanya untuk membuat panggilan telefon atau menggunakan internet kerana kampung mereka kini telah dilengkapi kemudahan berkenaan.
Tok Batin perkampungan itu Hadu Long bagi pihak penduduk kampung, merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan liputan internet melalui satelit atau Broadband Wireless Access (BWA) yang dipasang di kawasan surau sejak hujung 2021.
"Kini, kami dapat berhubung dengan anak-anak yang bekerja di luar kampung malah pengusaha chalet di sini dapat mempromosikan tempat pelancongan menerusi media sosial dan pengunjung yang datang juga tidak menghadapi masalah rangkaian telefon seperti dulu setelah kerajaan menaik taraf menara berhampiran di Kuala Mu.
"Ekonomi penduduk menjadi bertambah baik kerana mereka juga dapat menggunakan internet untuk berniaga secara dalam talian. Saya harap mereka tidak menyalahgunakan kemudahan ini," katanya ketika ditemui Bernama ketika menerima lawatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia rangkaian Numix di sini baru-baru ini.
Katanya, KOA Bersah yang kedudukannya berbukit dan mengambil masa kira-kira lebih sejam perjalanan dari pekan Sungai Siput mempunyai 500 penduduk daripada 49 keluarga.
Pengarah MCMC Negeri Perak, Mohd Irwan Mohamed, berkata pemasangan BWA siap beroperasi dan membolehkan penduduk KOA Bersah melayari internet sejak Oktober 2021 sementara menunggu proses menaik taraf liputan sedia ada.
"Kerajaan menyediakan projek ini untuk mereka yang berada di sini menikmati perkhidmatan internet secara kolektif, dengan penduduk perlu hadir ke tempat pemasangan BWA bagi mengakses internet secara percuma," katanya.
Katanya, sebanyak 73 lokasi pedalaman di Perak telah dipilih bagi tapak projek di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menggunakan teknologi satelit bagi kemudahan komunikasi penduduk sekitar.
Sementara itu, dalam lawatan di Kampung Pong, Gerik semalam, Pengarah (Pembangunan) MCMC Negeri Perak Muhammad Fairuz Abdullah berkata pihaknya turut menambah baik capaian internet dengan menaik taraf menara telekomunikasi melalui teknologi fiber.
"Dahulunya perkampungan ini telah disediakan liputan selular 2G dan 3G menggunakan talian teras jenis satelit yang kurang stabil dan tidak dapat memberikan talian internet yang baik terutamanya apabila cuaca tidak baik.
"Melalui pelan JENDELA, menara di kampung ini telah dinaik taraf kepada sambungan fiber optik untuk memberikan perkhidmatan 2G dan 4G yang lebih berkualiti dan pantas," katanya.
Katanya, lebih 120 orang penduduk kebanyakannya melakukan aktiviti dusun buah-buahan dapat menikmati kemudahan itu termasuk anak-anak muda yang memerlukan internet bagi tujuan pembelajaran. – BERNAMA