MEASAT harap kerajaan terus rapatkan jurang jalur lebar

06 Okt 2022 - Harian Metro


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu meneruskan inisiatif pembiayaan yang bertujuan merapatkan jurang jalur lebar antara kawasan luar bandar dan bandar, terutamanya di lokasi terpencil di seluruh negara.

Ia meliputi kawasan seperti perkampungan Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan rumah panjang serta kampung di Sabah dan Sarawak untuk mempercepatkan pembentukan masyarakat inklusif digital.

Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, ketika ini,

akses internet adalah keperluan asas, setanding dengan air bersih dan elektrik.

"Inisiatif kerajaan seperti pelan tindakan MyDigital dan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang menyasarkan untuk mencapai 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk dan meningkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih kepada 100 Mbps menjelang akhir tahun 2025, memerlukan perhatian sepenuhnya untuk memastikan mana-mana ahli daripada penduduk yang tidak berhubung akhirnya dapat mengakses faedah sosioekonomi internet.

"Sambungan internet telah dikenal pasti sebagai pemboleh pertumbuhan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-12, bagi membolehkan teknologi IR4.0 dan ekonomi digital.

"Kami berbesar hati melihat program JENDELA membawa rancangan untuk memanfaatkan sambungan satelit untuk meningkatkan liputan mudah alih di kawasan terpencil, untuk menangani cabaran ketersambungan di kawasan luar bandar," katanya dalam kenyataan mengenai harapan Bajet 2023.

Menurutnya, sebagai pengendali satelit terkemuka Malaysia, MEASAT kekal bersedia untuk menyokong matlamat negara dengan barisan satelit yang dikendalikan, dengan mengembangkan liputan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang mendapat perkhidmatan, melalui perkhidmatan CONNECTme NOW.

"Satelit MEASAT-3d kami yang baru dilancarkan telah beroperasi sejak Ogos 2022, dan kampung di seluruh negara dengan perkhidmatan CONNECTme NOW sudah mula menikmati akses kepada kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

"Kami berharap dapat melihat lebih ramai rakyat Malaysia di lokasi terpencil menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang serupa dalam masa terdekat," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.