Memilih rakan 5G dengan bijak

14 Feb 2022 - Sinar Harian


PELAKSANAAN 5G di Malaysia telah menimbulkan pertikaian daripada pelbagai pihak sejak tahun belakangan ini.

Dengan peningkatan permintaan digital dalam kalangan rakyat Malaysia berikutan perubahan gaya hidup 180 darjah yang dialami sejak Covid-19 melanda kita, kita tidak mempunyai pilihan melainkan menjadikan segalanya digital.

Bermula daripada aktiviti seperti memesan makanan sehingga mendapatkan vaksin, kesalinghubungan yang andal dan pantas telah menjadi lebih daripada sekadar kehendak, ia telah menjadi keperluan dalam kehidupan harian.

Jalinan Digital Negara (Jendela) adalah pelan kerajaan yang meletakkan batu asas bagi memperluas capaian Internet dan mengukuhkan kesalinghubungan dengan pembangunan teknologi 5G di Malaysia.

Pelaksanaan 5G akan dibangunkan oleh Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah syarikat Kenderaan Tujuan Khas milik Kerajaan melalui Kementerian Kewangan. Ditubuhkan pada Mac 2021, DNB bertanggungjawab untuk memacu pembangunan dan penyampaian teknologi 5G.

DNB dan kaedah rangkaian pemborong tunggal (SWN) yang dicadangkan adalah alternatif baharu kepada landskap syarikat telekomunikasi nasional. Kerajaan akan bertanggungjawab membina, menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur, mengawal kualiti perkhidmatan yang disediakan dan mengawal caj bagi pengendali telekomunikasi.

Syarikat telekomunikasi tempatan pula akan memperoleh manfaat yang sama. Mereka tidak perlu lagi risau tentang kos infrastruktur berintensifkan modal dan akan memastikan keperluan dan kepentingan mereka sentiasa dipelihara dengan baik.

Pembangunan 5G bukan sahaja didebatkan di peringkat setempat bahkan ia merupakan antara 'perang halus' di peringkat global yang melibatkan kuasa-kuasa besar terutamanya dalam pertikaian teknologi yang diguna pakai untuk mereka bentuk dan membinanya.

Lebih banyak negara di dunia telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melarang dan membatalkan kontrak pembekal mereka.

Pelaksanaan teknologi 5G di seluruh dunia adalah lebih daripada sekadar menambah baik sambungan internet.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.