Menara Telekomunikasi Nanga Sekuau telah dinaik taraf ke rangkaian 4G: Julaihi

27 Mac 2022 - Utusan Borneo


SEKUAU: Menara Telekomunikasi Nanga Sekuau telah dinaik taraf ke rangkaian 4G sejak 7 Februari lepas oleh pemberi perkhidmatan Celcom, Maxis, Digi dan UMobile bagi menambah baik kualiti liputan telekomunikasi di kawasan tersebut.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, 22 menara baharu 4G di daerah Selangau kini dalam proses pemerolehan tapak, di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Menara-menara ini dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2023," ujarnya selepas mengadakan lawatan kerja ke Menara Telekomunikasi Nanga Sekuau di Daerah Selangau, semalam.

Dalam usaha untuk mempertingkatkan liputan jalur lebar mudah alih di Sarawak, Julaihi berkata, sejumlah 636 menara baharu 4G di bawah program JENDELA Fasa 1 telah dianugerahkan kepada penyedia perkhidmatan yang telah dilantik dan dijangka beroperasi pada suku ketiga 2023.

"Menara tersebut adalah tambahan kepada 106 menara baharu 4G yang sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap beroperasi menjelang suku kedua 2023," katanya.
 

Bagi mengatasi masalah capaian jalur lebar di kawasan terpencil, Julaihi berkata, 523 lokasi telah dikenal pasti untuk pemasangan satelit di bawah pelan JENDELA.

"Kemudahan tersebut membolehkan penduduk setempat di setiap lokasi mengakses perkhidmatan jalur lebar secara percuma selama dua tahun. 

"Kemudahan alternatif ini telah mula dilaksanakan pada Oktober 2021 dan setakat ini, sebanyak 512 lokasi telah siap pemasangan dan beroperasi. Baki 11 lokasi lagi dijadualkan siap menjelang April 2022.

"Sesungguhnya, usaha-usaha yang sedang dijalankan ini adalah bagi memastikan tidak ada mana-mana rakyat yang terpinggir daripada menikmati capaian Internet," ujarnya.

Semasa lawatan itu, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut melawat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Skim Sekuau di bawah seliaan MCMC yang telah beroperasi sejak Januari 2017.

"PEDi ini merupakan salah satu daripada keseluruhan 133 buah yang telah dibina dan beroperasi di Sarawak untuk mempergiatkan transformasi digital dalam kalangan komuniti setempat dan meningkatkan tahap sosioekonomi melalui latihan keusahawanan bagi memacu negara membangunkan agenda ekonomi digital," katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi I (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, ADUN Tamin Christopher Gira Sambang dan Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami.

 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.