Model pelaksanaan sedia ada 5G dijangka kekal

17 Apr 2023 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengekalkan model pelaksanaan sedia ada 5G dan seandainya berlakunya perubahan, ia berpotensi memberikan peluang baharu kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO).

Penganalisis Affin Hwang Investment Bank Bhd, Isaac Chow, berkata jangkaan pengekalan itu adalah berdasarkan kepada kemajuan pelancaran rangkaian 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB) serta sejumlah besar kontrak yang ditandatangani bersama vendor serta pelanggan.

"Kami menjangkakan kerajaan mengekalkan model pelaksanaan sedia ada 5G, tetapi mungkin memperhalusi garis masa pelancaran serta perbelanjaan operasi (opex) dan perbelanjaan modal (capex)," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Chow berkata, sebarang perubahan kepada keputusan menggunakan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G akan memberikan peluang baharu kepada MNO termasuk pengendali utama seperti Maxis.

Beliau berkata, ini memandangkan Maxis masih belum menandatangani perjanjian akses 5G walaupun kumpulan telekomunikasi itu telah merancang untuk pelbagai tawaran 5G selain rangkaiannya kini sedia untuk menerima teknologi itu.

Maxis, katanya masih menunggu keputusan kerajaan mengenai dasar pelaksanaan 5G Malaysia dan telah menangguhkan untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham mengenai penyertaan ke dalam perjanjian akses 5G dengan DNB.

"Maxis adalah satu-satunya MNO utama yang masih belum melaksanakan perjanjian akses 5G. Di sebalik penangguhan itu, Maxis kekal komited untuk menawarkan produk dan perkhidmatan 5G untuk pelanggan dan merancang pelbagai tawaran 5G.

"Selain itu, rangkaian Maxis sudah sedia 5G dan secara aktif mempromosikan telefon serasi 5G kepada pelanggannya bagi memastikan peralihan lebih pantas selepas pelancaran 5G," katanya.

Chow berkata, walaupun MNO lain sudah melaksanakan peningkatan dan percubaan 5G, tetapi ia tidak memberikan impak yang besar kepada Maxis.

Beliau berkata, MNO seperti CelcomDigi, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL Communications

telah memperkenalkan pelan 5G masing-masing pada akhir 2022.

Bagaimanapun, katanya maklum balas mengenai perkhidmatan 5G Malaysia sebahagian besarnya masih neutral dan sekumpulan besar pengguna masih belum mencuba teknologi baharu itu.

"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan ketiadaan tawaran 5G menjejaskan daya saing Maxis pada separuh pertama 2023 tetapi kesannya masih boleh diurus buat masa ini.

"Kami menjangkakan Maxis akan memperkenalkan produk dan perkhidmatan 5G pada akhir suku kedua atau awal suku ketiga ini," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.