Naik taraf capaian internet di Segamat, diperluas secara berperingkat

22 Mac 2023 - Berita RTM


KUALA LUMPUR, 22 Mac- Penaiktarafan capaian internet serta rangkaian komunikasi di kawasan pedalaman dan luar bandar di Parlimen Segamat sedang diperluaskan secara berperingkat melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 dan Fasa 2.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata kesemua inisiatif yang sedang dalam peringkat pelaksanaan itu dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2023.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah menyiapkan empat menara baharu dan dalam proses menyiapkan baki tiga menara daripada tujuh menara yang dirancang.

"Lokasi bagi pembinaan tujuh menara baharu di kawasan luar bandar dan bandar di Parlimen Segamat adalah di Kampung Sengkang Legeh, Kampung Gelang Chinchin, Kampung Krishna Jementah, Kampung Lubok Kepong, Gemas Baharu, Taman Segamat Jaya dan Buluh Kasap.

"SKMM juga bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan secara pro-aktif bagi memastikan liputan tidak terputus ketika banjir dengan melaksanakan inisiatif 'site hardening/strenghtening'," katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Tambah Teo, tapak-tapak stesen pemancar di kawasan bencana dinaik taraf agar tidak terkesan seperti meninggikan platform peralatan telekomunikasi dan genset, naik taraf kapasiti dan backup battery jika bekalan elektrik terputus ketika banjir.

Melalui inisiatif JENDELA Fasa 1 di kawasan Parlimen Segamat, bagi jalur lebar talian tetap, sebanyak 1,887 premis telah siap disediakand engan sambungan gentian optik.

Manakala baki sebanyak 5,687, dalam peringkat pelaksanaan daripada 7,574 yang dirancang.

Sebanyak 104 alat pemancar komunikasi telah siap dinaik taraf kepada teknologi 4G, manakala baki satu lagi dalam peringkat pelaksanaan daripada 105 yang dirancang.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.