Orang Asli Kuala Boh akan Nikmati Rangkaian Komunikasi Lebih Baik

25 Mei 2023 - Bernama


KUANTAN, 25 Mei (Bernama) - Lebih 600 penduduk di Kampung Orang Asli Kuala Boh, Cameron Highlands bakal menikmati rangkaian komunikasi dan talian Internet lebih baik apabila menara telekomunikasi di kampung itu beroperasi sepenuhnya Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata menara itu dibina syarikat Edotco Group Sdn Bhd dan diserahkan kepada syarikat telekomunikasi CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) semalam.

"CelcomDigi merupakan syarikat dilantik untuk melakukan kerja selanjutnya yang merangkumi pemasangan peralatan elektronik, penyambungan gentian optik dan bekalan tenaga elektrik sehingga kepada pengaktifan perkhidmatan 4G," katanya menerusi kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook rasminya.

Perkhidmatan Internet dan 4G yang tidak memuaskan di perkampungan itu pernah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada kunjungan Seri Paduka ke situ pada Januari lepas. 

Fadzli berkata buat masa ini, pihak MEASAT menyediakan perkhidmatan 4G secara interim menggunakan teknologi satelit bagi menampoung keperluan penduduk sehingga menara itu beroperasi.

Pada kenyataan itu, Fadzli berkata 53 daripada 270 menara telekomunikasi baharu di Pahang menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah siap dan beroperasi, manakala bakinya dijadualkan siap secara berperingkat menjelang hujung tahun ini. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.