Pelaburan Ericson dalam teknologi 5G beri tuah kepada Malaysia

10 Feb 2022 - Malaysia Post


PELABURAN Ericcson dalam teknologi 5G adalah satu tuah kepada rakyat Malaysia, kata Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Mahasiswa UNIKL, Dr Mohamed Zul Fadhli Khairuddin.

Menurutnya, dengan kesediaan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk mengorak langkah lebih jauh, adalah tidak wajar sekiranya pemberian projek itu ditender semula kepada syarikat lain.

“Syarikat konsultan AT Kearney menjangkakan aplikasi 5G di negara-negara ASEAN akan meningkatkan pendapatan pengguna sehingga 9% dan pendapatan perniagaan sehingga 22%.

“Dalam keanggotaan ASEAN, Filipina, Singapura dan Malaysia telah menunjukkan pendirian tegas untuk membangunkan infrastruktur dan rangkaian sendiri. 

“Mandat kerajaan diberikan kepada Digital Nasional Berhad yang diperbadankan Kementerian Kewangan sebagai pemacu infrastruktur dan rangkaian Teknologi 5G di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan. 

Tambahnya,  aktiviti ekonomi berkaitan 5G dianggarkan menyumbang tambahan RM12.7 bilion kepada KDNK antara 2021 dan 2025. 

“Pada tahun 2025 sahaja, sumbangan 5G kepada KDNK Malaysia dijangka mencecah RM5.3 bilion pada tahun-tahun berikutnya, bahagian aktiviti 5G dan Industri 4.0 yang didayakan 5G dalam KDNK Malaysia diunjurkan akan terus meningkat.

“Permintaan untuk 5G akan merentasi pelbagai industri dalam sektor pembuatan, khususnya dalam kalangan pemain industri komponen dan modul semikonduktor, iaitu syarikat Perhimpunan dan Ujian Penyumberan Luar (OSAT) dan pengeluar Peralatan Ujian Automatik (ATE). 

“Syarikat seperti Inari Amertron, Malaysian Pacific Industries (MPI) dan Aemulus ditetapkan untuk menjadi penerima manfaat utama, memandangkan pendedahan mereka kepada proses pemasangan, pembungkusan dan ujian cip RF,” katanya. -Malaysiapost


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.