Pelaksanaan JENDELA Fasa 2, dijangka bermula suku pertama tahun ini

10 Feb 2023 - RTM


CYBERJAYA, 10 Februari - Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa kedua (2023-2025) dijangka akan dimulakan pada suku pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata pihaknya akan membentangkan sasaran dan perkara berkaitan fasa kedua itu kepada Kementerian Komunikasi Digital terlebih dahulu.

"Seterusnya kita akan bincang dengan pihak kementerian dan menteri bagaimana untuk mula fasa kedua. Baru-baru ini menteri beri arahan kepada pihak MCMC untuk menyelesaikan beberapa masalahpada bulan jun tahun ini, antaranya ialah liputan dan kesinambungan di kawasan-kawasan perkampungan Orang Asli, di lebuh raya, di dalam bangunan dan di stadium dan antara yang di sebut ialah Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya di sini.

JENDELA fasa pertama yang selesai pada Disember 2022, mencapai liputan 4G 96.92%.

Manakala dari segi kelajuan, ia mencapai 77 megabit sesaat (Mbps) berbanding sasaran awal 35 Mbps.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup ‘Accelerated Leadership Program (ALP) Series Cohort 1 di Cyberjaya, Selangor

ALP merupakan kolaborasi strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan 39 kakitangan MCMC berjaya menamatkan program tersebut yang bermula tahun 2020 hingga 2022.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.