Pelaksanaan JENDELA memudahkan capaian internet penduduk pedalaman di Selangor

15 Mac 2022 - RTM


SELANGOR, 15 Mac - Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) membolehkan rakyat Selangor di kawasan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli menikmati kemudahan capaian internet.

Ia merupakan antara inisiatif berterusan kerajaan dalam merapatkan jurang digital setiap lapisan masyarakat selain memantapkan infrastruktur telekomunikasi negara.

Inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyediakan kemudahan akses Internet Jalur Lebar 4G Tanpa Wayar (BWA) nyata memberikan kelegaan kepada penduduk setempat.

Pengarah SKMM Negeri Selangor, Rizal Abdul Malek memberitahu, BWA merupakan antara projek di bawah JENDELA yang menggunakan teknologi satelit.

"Ini merupakan kawasan pedalaman yang agak terpencil di kawasan Selangor ni, dimana menara biasa tidak dapat disediakan kerana memerlukan rangkaian fiber yang bagus. Oleh kerana itu kita menyediakan teknologi ini sebagai penyelesaian sementara bagi jangka masa pendek selama dua tahun sebelum kami membina menara kekal disini," kata Rizal.

Bukan sekadar akses, liputan dan kualiti perkhidmatan turut dinaik taraf kepada liputan 4G.

Ia bagi memastikan penduduk orang asli di beberapa kawasan menikmati capaian internet yang lebih baik dan berkualiti.

"Di Selangor sudah hampir 100 peratus, sebab kita lihat kita terjemahkan projek JENDELA ini kepada bentuk pencapaian. Sebelum pelaksanaan digital, sebelum ini kelajuan kita hanya 28 megabit/sec dan pada akhir tahun ini kita menyasarkan boleh dapat 50megabit/sec. Dan sekarang purata kelajuan untuk Selangor adalah 40.8megabit/sec," katanya lagi.

Antara yang menerima manfaatnya termasuklah penduduk Kampung Orang Asli Sungai Judah.

"Bila sudah ada menara senang berurusan. Urusan berniaga, urusan pendidikan, urusan pelajar universiti. Sebab sekarang tak boleh ke kolej terpaksa belajar dari rumah, jadi kemudahan itu dah ada," menurut Daiman Peron.

"Semenjak ada perkhidmatan menara komunikasi yang telah disediakan oleh kerajaan melalui MCMC saya dapat mengikuti pengajian secara dalam talian ni dengan lancar," kata Rokna Zaidi.

 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.