Pelobi internet dunia tangguk air keruh isu DNB

27 Feb 2022 - The Malaysian Insight


BEBERAPA minggu lalu, Ahli Parlimen Bangi YB Ong Kian Ming telah mengeluarkan satu senarai soalan kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) Malaysia.

Kekeruhan timbul apabila ruang ini seolah-olah dibuka untuk melengahkan lagi gerak kerja Digital Nasional Berhad (DNB) untuk membangunkan infrastruktur 5G di Malaysia.

Sebelum senarai soalan tersebut dikeluarkan, CGO DNB, Ralph Marshall telahpun mengeluarkan respons terperinci kepada YB Ong Kian Ming berkenaan persoalan ‘peribadi’ beliau kepada DNB.

Tetapi, dalam keadaan ‘berpuas hati’ dengan respons Ralph Marshall, OKM masih menjuarai penerokaan ruang agar pelan yang sudah dipersetujui kerajaan ini kembali distrukturkan.

Agak meragukan sekiranya masyarakat percaya inisiatif OKM adalah dari hasrat peribadi beliau tatkala pemberat kepada soalan yang diberikan sebenarnya masih menggali peluang agar pelancaran 5G tidak diteruskan DNB hanya dengan meletakkan ‘pertikaian yang munasabah’ dan menunggang sentiment ahli Parlimen sebagai penggubal dasar.

Mengapa skeptisisme ini tidak boleh dipandang ringan?

Sejurus selepas MNO (Digi, Axiata, Maxis) memberi respons kepada OKM, GSMA tampil memberi sokongan kepada MNO untuk pendekatan SWN dimansuhkan kepada DWN yang dihasratkan MNO.

Siapakah GSMA?

Group Speciale Mobile Association (GSMA), persatuan sedunia bagi pengendali internet mudah alih, yang turut berperanan untuk melobi bagi industri mahu kerajaan mengenepikan pendekatan SWN.

Pada Julai lalu beberapa argumen direncahkan dalam kajian GSMA berjaya mempengaruhi industri, ahli politik, dan media teknologi. Belakangan ini, pembuat dasar pelbagai negara terlihat mempercayai GSMA.

Kalau diperhatikan di dalam teks yang dikeluarkan GSMA, kegusaran mereka terhadap SWN melalui DNB diulang sekali lagi walaupun telah diterangkan oleh Ralph Marshall bahawa pelan strategik DNB tidak sama dengan kegagalan SWN sebelum ini di negara lain.

GSMA juga bertegas bahawa laporan mereka dinamik mengikut perspektif ekonomi Malaysia.

Adakah GSMA ingin menuduh Kerajaan Malaysia membuat tindakan semberono tanpa sebarang penelitian kepada implikasi ekonomi dan kemandirian syarikat?

Pertikaian yang berulang dari GSMA juga sengaja diperbesar, ia adalah tanda asakan yang sengaja dan ‘degil’ kerana permintaan pelobi industri ini masih tidak dipenuhi.

Berapa lama lagi masyarakat terus ditekan dengan permainan industri?

Apa sebenarnya orientasi hubungan OKM – MNO – GSMA - (Siapa di belakang GSMA?)

Kita pernah berada di sini. Tentangan turut diberikan kepada kerajaan untuk pelaksanaan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi pada tahun 2012 apabila kerajaan melancarkan inisiatif tanpa persetujuan sebulat suara industri yang memikirkan keuntungan. Fasa itu berlalu, hasilnya kelajuan internet dapat ditingkatkan.

Tetapi dengan ketamakan MNO yang terkenal dengan kerja separuh jalan, capaian 4G masih lagi tidak boleh dibanggakan.

Lima puluh tahun dahulu, kita berdepan dengan tekanan sama dengan penerokaan industri petroleum.

Ketegasan kerajaan memilih Petroliam Nasional Berhad (PNB) sebagai peneraju industri membuahkan hasil lebih separuh abad untuk Malaysia. Tiada siapa kenal siapa PNB sebelum itu, sehingga hari ini Petronas menjadi pemain utama dalam sokongan dasar fiskal negara.

Dalam krisis kedahagaan sumber hari ini, bukan ketamakan industri yang wajar untuk disuap. Masyarakat sedang kehausan daya saing. Jurang digital yang juga jurang ekonomi perlu terus dirapatkan.

Mengapa jurang kekayaan syarikat telco yang menjadi agenda utama di sebalik kemahuan kita merakyatkan teknologi komunikasi? – 27 Februari, 2022.

*Sham Osman, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.