Pemerkasaan JENDELA harapan rakyat untuk liputan Internet lebih baik

07 Okt 2022 - Harian Metro


Kuala Lumpur: Pemerkasaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menyediakan 100 peratus liputan Internet adalah harapan semua rakyat negara khususnya golongan pelajar.

Pensyarah Kanan di Jabatan Komunikasi, Pusat pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, pemerkasaan itu akan mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Menerusi Bajet 2023, kerajaan menyediakan RM700 juta bagi pelaksanaan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 sekolah.

Sesuai dengan perkembangan teknologi telekomunikasi masa kini, Digital Nasional Berhad (DNB) turut memperluaskan rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70 peratus kawasan berpenduduk tinggi.

Beliau berkata, komunikasi digital pada hari ini adalah sangat penting bukan saja untuk pendidikan sebaliknya ia sudah merangkumi kehidupan masa kini.

"Ketika Covid-19 dulu, kita dapat melihat bahawa ramai dalam kalangan murid atau pelajar yang tercicir akibat masalah capaian Internet atau ketersambungan yang lemah.

"Kita juga dapati bahawa terdapat banyak kawasan yang sebenarnya tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan Internet dan bagaimana jika ada golongan pelajar atau murid yang tinggal di kawasan itu, sudah pasti ketinggalan.

"Walaupun fokus kerajaan lebih kepada pelaksanaan 5G secara menyeluruh, namun inisiatif untuk menyediakan ketersambungan Internet di seluruh negara adalah untuk kemudahan rakyat," katanya.

Beliau turut mengharapkan bahawa pelaksanaan projek Internet luar bandar yang dirintis oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat memperluaskan sambungan Internet berkelajuan tinggi.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.