Penggunaan 5G tingkat daya saing Malaysia peringkat serantau - AMCHAM
03 Mac 2022 - Berita Harian
KUALA LUMPUR: Penyiapan infrastruktur dan penggunaan pantas perkhidmatan 5G akan membolehkan Malaysia berdaya saing seiring negara serantau, demikian kata Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM).
Ia berkata, dengan memastikan bahawa terdapat akses yang adil, saksama dan kompetitif kepada infrastruktur rangkaian, akan membantu merapatkan jurang digital yang memberi kesan kepada kadar pertumbuhan di seluruh wilayah yang berbeza di negara ini.
Katanya, ketersambungan semakin penting untuk perniagaan dalam semua sektor, justeru pihaknya menyokong usaha kerajaan untuk menangani isu ketersambungan digital melalui inisiatif seperti JENDELA dan MyDIGITAL, dengan matlamat untuk menambah baik dan meningkatkan pembangunan seluruh Malaysia.
"AMCHAM menyokong pelan tindakan yang telus, berdaya saing dan menangani keperluan keselamatan maklumat, termasuk integriti data, kerahsiaan dan ketersediaan.
"Elemen penting ini akan memberi manfaat kepada perniagaan dan memacu hasil yang paling menguntungkan rakyat. 5G akan bersama kita untuk beberapa tahun akan datang. Sebagai asas teknologi, ia perlu boleh dipercayai, utuh dan selamat," katanya dalam satu kenyataan.
AMCHAM berkata, sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai isu pelancaran 5G, sama ada rangkaian borong tunggal (SWN), rangkaian borong dwi (DWN), rangkaian borong pelbagai (MWN) atau mana-mana model lain perlu mengambil kira beberapa perkara.
Dewan perniagaan itu berkata, perkara pertama ialah mengambil kira kemajuan dan pelaburan yang telah dibuat dalam pelaksanaan pelan.
Katanya, perkara seterusnya yang perlu dilihat ialah keperluan untuk memastikan wujud komunikasi yang berkesan kepada orang ramai dan pemegang taruh lain bersama-sama dengan perundingan meluas, ketelusan, dan perbincangan isu yang mempengaruhi pelaksanaan.
"Akhir sekali, untuk memastikan model yang berkesan dengan liputan meluas kepada semua rakyat yang akan menggalakkan pelaburan asing dan domestik yang lebih besar dan membuka potensi penuh Malaysia untuk kejayaan masa depan.
"Pelabur, termasuk ahli kami, amat menyedari bahawa sebarang kelewatan dalam pelaksanaan 5G di Malaysia bukan saja akan memberi kesan kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) tetapi juga boleh memberi implikasi kepada kedudukan daya saing negara ini, terutamanya dalam kalangan negara jiran," katanya.