Penjagaan kesihatan dipacu AI
03 Nov 2023 - Harian Metro
Kuala Lumpur: Persidangan KPJ Healthcare Kali Ke-24 memberi tumpuan pada evolusi dan penyepaduan teknologi baharu dalam penjagaan kesihatan seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan 'precision medicine'.
Presiden dan Pengarah Urusannya, Chin Keat Chyuan berkata, teknologi, inovasi dan penjagaan kesihatan dipacu AI ialah kompas bagi membimbing ke arah masa depan yang lebih cerah, cekap dan mesra pengguna.
"Sejak 2001, acara tahunan ini terus menarik perhatian profesional penjagaan kesihatan dan pakar industri dari seluruh dunia yang berkongsi misi yang sama dalam industri yang kian berkembang pesat ini.
"Sebagai peneraju dalam sektor penjagaan kesihatan swasta, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk terus memacu transformasi ini dengan menyesuaikan diri, berinovasi, dan menyediakan penjagaan kesihatan bermutu tertinggi," katanya.
Persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dan hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Sri Norazman Ayob bagi mewakili Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Menurutnya, persidangan itu juga menyaksikan pengenalan usaha perintis Malaysia ke dalam bidang VSI Holomedicine yang didayakan 5G.
Menurutnya, ia adalah pencapaian hasil kerjasama KPJ Healthcare dan apoQlar yang turut disokong oleh Digital Nasional Berhad (DNB), Microsoft, TM One dan National University Health System (NUHS).
"Kami memberikan kemudahan kepada pesakit dan pakar perubatan serta berusaha untuk terus mencapai kemajuan yang luar biasa sebagai sebahagian daripada misi pentakrifan semula kami demi merevolusikan penyampaian penjagaan kesihatan.
"Kami melengkapkan fasa perintis teknologi Holomedicine VSI di hospital utama di Hospital Pakar Damansara 2, dan kini merancang melancarkan teknologi VSI HoloMedicine dengan lebih meluas di seluruh hospital kami yang terletak di seluruh negara pada tahun akan datang.
"Menerusi inisiatif itu, pakar perubatan kini boleh mendapatkan cerapan mengenai struktur anatomi yang kompleks, memperolehi data pesakit kritikal secara 'overlay', dan bekerjasama dengan pakar di seluruh dunia secara 'real time'. Semuanya dalam keselesaan persekitaran klinikal mereka tersendiri," katanya.
Bertemakan 'Transformasi Penjagaan Kesihatan: Mengimaginasi Semula dan Mentakrif Semula', persidangan itu menghimpunkan pakar industri dalam sektor penjagaan kesihatan tempatan dan antarabangsa.
Antaranya, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Profesor Psikiatri Kolej Perubatan Mayo Clinic Profesor Dr Louis E Krahn, Naib Ketua Pegawai Maklumat Perubatan Pusat Perubatan Samsung Profesor Dr Meong-Hi Son, Profesor Universiti California Los Angeles (UCLA) Profesor Dr Maie St John, Canselor Universiti KPJ Healthcare Profesor Emerita Tan Sri Datuk Seri Dr Sharifah Hapsah, dan pakar-pakar perubatan dari Hospital Pakar KPJ, yang mendalami bidang inovasi dan penggunaan teknologi dalam landskap penjagaan kesihatan.