Penubuhan DNB pastikan rangkaian 5G beri manfaat Sabah, Sarawak: Ruddy

12 Feb 2022 - Daily Express


Kota Kinabalu: Penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan  memastikan rangkaian 5G benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak. 

 

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Dato’ Sri Dr Ruddy Bin Awah (gambar) berkata strategi DNB diperkenalkan kerajaan itu akan dapat menghalang syarikat telekomunikasi daripada membida dan memegang lesen spektrum 5G yang boleh dimanipulasi dalam aspek tawaran harga kepada pengguna. 

 

Katanya, kawasan pedalaman terutamanya Sabah dan Sarawak akan melalui kesukaran untuk mendapat akses pembangunan yang adil berikutan tiada “nilai komersial” kepada syarikat telekomunikasi yang membangunkan perkhidmatan berorientasikan keuntungan.

“Dengan adanya DNB, ia akan menjadikan lesen sedia ada yang mereka dipegang oleh syarikat telekomunikasi kurang bernilai. Sebagai contoh, pada tahun 2020, Maxis menyenaraikan RM11.5 bilion ringgit dalam aset tidak ketara, kebanyakannya daripada lesen spektrum 3G dan 4G yang dimilikinya. 

 

“Memandangkan syarikat tidak boleh membida ruang spektrum 5G, dan kerajaan memaksa pengendali untuk beralih daripada frekuensi spektrum lama yang telah mereka miliki seperti 3G & 4G dan menambah baik status perkhidmatan sedia ada. Ini adalah situasi yang akan memberi kemenangan kepada pengguna, iaitu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, selama 60 tahun rakyat Sabah terpaksa membayar kos yang sama dengan mereka yang tinggal di kawasan bandar utama namun perlu menanggung capaian yang hanya cukup-cukup makan.

 

“Inilah penderitaan yang dilalui berikutan pembangunan teknologi 2G hingga 4G terdahulu adalah berorientasikan keuntungan. Soalnya, adakah syarikat telekomunikasi ini benar-benar memperjuangkan pembangunan 5G atas kepentingan rakyat, atau poket mereka semata-mata?

 

“Semakan harga menunjukkan Maxis mengenakan bayaran antara RM35 hingga RM60 untuk kelajuan antara 5Mbps dan 24Mbps untuk perkhidmatan internet tanpa had. Digi, sebaliknya, mengenakan bayaran antara RM45 dan RM105 untuk kelajuan jalur lebar antara 25GB dan 100GB sebulan, manakala harga Celcom antara RM38 hingga RM58 sebulan untuk kelajuan sehingga 6Mbps sahaja. 

“Perkhidmatan yang paling disyorkan, Unifi, mengenakan caj dari RM89 kepada RM349 untuk kelajuan antara 30Mbps hingga 800Mbps. Bagaimanapun, kebanyakan penduduk bandar dan mereka yang tinggal hanya di pinggir bandar utama Sabah mendakwa bahawa mereka tidak menikmati kelajuan yang dipromosikan oleh penyedia perkhidmatan Internet (ISP).

 

“Bayangkan, dengan harga yang ditawarkan, kebanyakan kawasan di Sabah, hanya berupaya memperoleh kelajuan 5Mbps, yang hanya cukup untuk menikmati video YouTube berkualiti rendah. 5Mbps tidak mencukupi untuk hotspot. Tidak ada gunanya mendapatkan kelajuan yang lebih tinggi jika anda tinggal di kawasan yang sambungannya rendah,” katanya lagi.

 

DNB, katanya, adalah sebuah entiti tunggal yang ditubuhkan kerajaan sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model Rangkaian Borang Tunggal (SWN).

 

Katanya, ketika 5G dijangka mengubah cara hidup pengguna, perusahaan dan masyarakat secara amnya, Malaysia memerlukan pendekatan neutral teknologi dan melaksanakan rangka kerja kawal selia fleksibel bagi membolehkan rakyat memanfaatkan sepenuhnya rangkaian 5G.

 

“Pada dasarnya, pembinaan satu rangkaian borong nasional oleh syarikat milik kerajaan akan memberi kelebihan kepada rakyat berbanding dengan pembinaan secara piecemeal oleh syarikat telekomunikasi. 

“Tetapi usaha ini tidak bersifat bersendirian dan akan menjadi tanggungjawab tunggal kerajaan. Oleh itu, SKMM perlu memastikan syarikat telekomunikasi untuk mengambil bahagian dan melakukan memastikan kawal dari aspek kualiti perkhidmatan dan tawaran harga  adalah mendahulukan rakyat,” katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.