Perkhidmatan jalur lebar hampir capai sasaran

28 Mei 2022 - RTM


SUNGAI PETANI, 28 Mei - Perkhidmatan menyeluruh jalur lebar ke seluruh negara menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) diyakini dapat dicapai seperti yang disasarkan.

Ini berikutan kawasan liputannya sudah hampir mencecah 100 peratus.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata Kementerian menerusi agensinya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memberi tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan.

 

"Selain menangani isu akses kepada internet berkualiti termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman maklumat infrastruktur dan data dari pelbagai sumber juga akan dipertingkatkan," menurut Zahidi di sini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Ramah MESRA Hari Raya Aidilfitri K-KOM anjuran SKMM di sini.

Penganjuran bersama agensi Jabatan bawah K-KOMM serta Umno Bahagian Merbok itu menerima lebih 8,000 pengunjung.

Dalam pada itu Zahidi berkata sebanyak 298,746 premis di negeri ini telah mendapat akses kepada capaian gentian optik yang dilaksanakan di bawah fasa pertama JENDELA.

Setakat suku pertama tahun ini kelajuan purata jalur lebar mudah alih di Kedah pula telah meningkat kepada 34.65 megabit per saat (Mbps).

"Liputan jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk di Kedah telah meningkat kepada 97.89 peratus. Di Merbok pula, setakat suku pertama 2022 mencatatkan 99.82 peratus. Jadi maknanya kita meninjau liputan dan kita akan menambah baik lagi liputan di Kedah untuk kita bantu kembangkan ekonomi yang memerlukan ‘kesalinghubungan’," katanya di sini.

Ia termasuk menyediakan pelan sokongan seperti penggunaan satelit selain menara gentian optik.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.