Pertahankan agenda Bumiputera dalam bisnes 5G
28 Feb 2022 - The Malaysian Insight
SELEPAS 10 hari, para menteri Kabinet masih gagal memberi jalan keluar kepada polemik digital negara.
Tatkala Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) mengusulkan cadangan penstrukturan semula operasi Digital Nasional Berhad (DNB), pelancaran teknologi 5G di Malaysia akan semakin dilengahkan.
Masa depan 5G suram akibat langkah ‘terlalu berhati-hati’ Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Kementerian Kewangan juga dilihat tidak tegas untuk kemandirian perbadanan di bawah seliaan mereka.
Keputusan untuk projek mega untuk manfaat rakyat ini seolah-olah terletak pada beberapa jolokan “kenyataan media” ahli Parlimen pembangkang pula.
Pada 17 Februari lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa cuba menurunkan suhu kontroversi apabila memorandum kabinet dijangka dibentangkan di Parlimen berkenaan pelaksanaan 5G.
Menunggu tempoh pengumuman tersebut adalah satu malapetaka buat negara.
Dua hari selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MEDIR4N) berlangsung, DNB terus membuka ruang untuk enam syarikat bumiputera untuk melancarkan pembangunan 5G.
Syarikat yang akan membuat pelaburan dalam pembangunan projek ini ialah 5G Infratech Solutions Sdn Bhd, SMTrack Bhd, Country Heights Holdings Bhd, Jiankun International Bhd, Sersol Bhd, Techna-X Bhd dan MQ Technology Bhd.
Sebelum itu, Telekom Malaysia sebagai gergasi industri yang terlibat dalam pelan pembangunan DNB memberi gambaran awal kepada orang awam bahawa Polisi Untuk Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) akan menjadi teras dalam kejuruteraan sosioekonomi DNB.
Pembahagian kontrak bernilai RM2 bilion juga sudah mula diagih kepada vendor dan syarikat pembekal tempatan termasuk Perkhidmatan Kejuruteraan, Pembekalan Gentian, Penyediaan Aksesori dan Peralatan Premis, Pembangunan Menara, serta Pembinaan Saliran Bawah Tanah.
Sekiranya ruang dibuka untuk MNO mengaut keuntungan di bawah pelaksanaan Dual Wholesale Network (DWN), persaingan bukan sahaja menekan DNB sebagai pengelola yang mempunyai pelan lengkap.
Kerugian besar akan ditanggung DNB apabila penstrukturan kewangan asal melibatkan perbelanjaan ratusan juta sehingga bilion ringgit melalui pinjaman dan sekuriti akan memberi implikasi kepada Kementerian Kewangan.
Rantai kerugian tidak berakhir kepada dua institusi ini sahaja, syarikat bumiputera yang terlibat dengan pelaburan di dalam DNB juga akan menerima bencana yang serupa.
5G Infratech Solutions akan bekerjasama dengan Ennova Sdn Bhd yang sudah mendapat mandat dari DNB sebelum ini. Dua syarikat bumiputera tersebut akan membangunkan sekurang-kurangnya 10 000 unit menara pemancar untuk gelombang 5G.
Siapa yang akan menerima tempias kerugian syarikat dan anak-anak syarikat ini? Sudah pasti perniagaan bumiputera ini akan gulung tikar.
Adakah Agenda Pemerkasaan Bumiputera (BEA) kerajaan cuma satu retorik?
Annuar dan Kabinet seolah-olah membuka lebih ruang untuk kapitalis di dalam MNO beraksi, walaupun kegagalan mereka dalam pelaksanaan 4G dalam dekad lalu adalah terlalu jelas.
Ditambah lagi dengan peruntukan kerajaan Malaysia melalui Jendela sebanyak RM28 bilion, isu capaian dan kelajuan akses internet masih tidak dapat diselesaikan.
Abdul Latiff (Menteri Tugas-tugas Khas) juga seolah-olah terdiam setelah janji pelaksanaan dasar Carve Out & Compete diketengahkan melalui pelancaran 5G oleh DNB.
Mengikut kenyataan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), 60% daripada keseluruhan pembangunan infrastruktur dan rangkaian ini sepatutnya dimanfaatkan syarikat Bumiputera jika kedudukan SWN tidak lagi diganggu dengan anasir luar yang tidak menjanjikan peluang untuk usahawan tempatan.
Menghairankan, adakah “harga” kepada pemerkasaan bumiputera ini sudah dibeli dengan menteri mesra kapitalis?
Mengapa terlalu sukar bagi kabinet untuk memberi lampu hijau kepada DNB untuk merakyatkan internet setelah MNO jelas gagal merapatkan jurang digital? – 28 Februari, 2022.
* Osman Safee, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.