Pusat Pengalaman Yes sedia rangkaian 5G
14 Nov 2022 - Harian Metro
Kuala Lumpur: Yes, jenama mudah alih 4G di bawah YTL Communications melancarkan Pusat Pengalaman Yes yang menghubungkan seluruh kedai dengan jaringan internet 5G.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee berkata, pusat berkenaan diwujudkan untuk memberi gambaran masa depan ketersambungan 5G dalam mengubah gaya hidup, bekerja dan mengubah persekitaran yang saling terhubung dengan pelbagai peranti.
"Pelanggan boleh datang dan lalui sendiri pengalaman menggunakan 5G di kedai ini. Dengan itu mereka dapat merasai kehebatan jaringan internet berkelajuan 5G.
"Itulah tujuannya untuk mencipta satu ruang di mana pelanggan mampu untuk melalui pengalaman internet 5G dan menggunakannya di rumah atau tempat kerja," katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.
Pusat Pengalaman Yes yang terletak di Bukit Bintang itu bukan sahaja menyediakan penjualan dan pembelian produk pascabayar Yes 5G, malah ia turut menyediakan restoran dan kafe untuk pelanggan menjamu selera.
Dalam pada itu, perjanjian langganan saham (SSA) membabitkan 65 peratus pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) daripada empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) akan menjadikan infrastruktur rangkaian 5G di Malaysia semakin kukuh.
Wing berkata, pegangan ekuiti itu akan membolehkan capaian 5G di negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, sekali gus memberikan kelebihan kepada rakyat.
Beliau berkata, sebagai pengendali MNO yang mempunyai pegangan ekuiti terbesar iaitu sebanyak 20 peratus, ini akan membolehkan Yes memperluaskan penguasaan pasarannya.
Katanya, Yes juga menjadi penyedia MNO tunggal yang menyediakan perkhidmatan 5G kepada pengguna ketika ini.
"Perjanjian empat MNO ini akan menjadikan sasaran capaian 5G akan lebih cepat dengan sasaran sebanyak 40 peratus liputan pada tahun ini dan 80 peratus menjelang 2024," katanya.
Empat MNO baru-baru ini memeterai SSA membabitkan 65 peratus pegangan ekuiti dalam DNB.
Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd masing-masing memegang 12.5 peratus kepentingan manakala Yes dan Telekom Malaysia Bhd (TM) pula masing-masing sebanyak 20 peratus.
Baki 35 peratus akan dipegang oleh kerajaan yang juga pemegang saham khas yang memberi pelbagai hak dan kepentingan serta membabitkan aspek seperti pemilikan, penjualan atau pemindahan saham di pihak kerajaan.