RM27.60 juta bangunkan ICT agensi awam di Sabah

03 Okt 2023 - Utusan Borneo


TAWAU:  Jabatan Perkhidatan Komputer Negeri (JPKN) Sabah menerima peruntukan sebanyak RM27.60 juta untuk operasi memodenkan infrastruktur digital dan pembangunan aplikasi dalam agensi kerajaan negeri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan terus komited bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan negeri.

Katanya, KSTI juga akan memainkan peranan dalam mengukuhkan pentadbiran dan kelengkapan peralatan digital perkhidmatan awam di Sabah.

“Saya percaya walaupun peruntukan itu belum mencukupi, namun ia memadai untuk melancarkan dan menggerakkan hasrat kerajaan negeri ke arah ‘kerajaan digital’menjelang 2025.

“Peruntukan itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memastikan sektor awam negeri dan rakyat Sabah sentiasa terjaga dari segi pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar ICT Sektor Awam Negeri Wilayah Tawau, di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri KSTI, Datuk Harun Durabi.

Menurutnya, pembangunan ICT di Sabah turut disokong oleh agensi kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“SKMM telah menambah menara komunikasi baharu, menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menaik taraf Pusat Internet Desa.

“Sementara itu, KSTI turut memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 300 lokasi seluruh Sabah yang tidak tersenarai di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) tahun ini,” katanya.

Katanya, salah satu objektif pendigitalan kerajaan adalah untuk meningkatkan jumlah ataupun peratus perkhidmatan secara dalam talian sepenuhnya tanpa perlu berurusan secara bersemuka.

“Ia juga dapat menambah baik dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Kerajaan telah menetapkan sasaran 80 peratus perkhidmatan kerajaan dalam talian dari peringkat awal ke akhir menjelang tahun 2025,” katanya.

Mohd Arifin menasihatkan semua penjawat awam negeri perlu berubah dan pantas menyesuaikan diri dengan perubahan semasa agar terus relevan.

“Ketika ini, perkhidmatan awam berada pada tahap yang cukup mencabar untuk menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

“Justeru, saya mahukan penjawat awam bertindak proaktif memastikan segala perancangan dan dasar yang telah dibuat dilaksanakan dengan efisien, cekap serta pantas,” katanya.

Terdahulu, seramai 150 penjawat awam dari Tawau, Kalabakan, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tungku terlibat dalam seminar berkenaan.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.