Rangkaian 4G ditambah baik

26 Feb 2022 - Harian Metro


RANGKAIAN 4G akan ditambah baik supaya dapat menawarkan liputan lebih mantap kepada pelanggan selepas perkhidmatan rangkaian 3G ditamatkan secara berperingkat sejak akhir tahun lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, perlu diakui wujud cabaran dalam tempoh peralihan itu, namun jumlah pelanggan berdepan masalah liputan lemah adalah kecil.

"Penutupan rangkaian 3G diputuskan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) kerana jumlah infrastruktur dan tahap spektrum yang menyokong 4G adalah tinggi.

"Ia juga disebabkan tingkah laku pengguna akhir ketika ini ke arah penggunaan data berbanding panggilan suara. Kita perlu akui pada peringkat awal terdapat cabaran disebabkan penutupan 3G.

"Justeru, kita akan terus memberi tumpuan untuk memacu dan menambah baik 4G bagi memastikan liputan lebih meluas kepada pelanggan," katanya pada taklimat media Laporan Jendela Suku Keempat 2021 secara maya, semalam.

Bagi tempoh Januari hingga Disember 2021, SKMM menerima 200,675 aduan berhubung rangkaian dengan kualiti perkhidmatan 4G kekal menjadi kebimbangan utama.

Berdasarkan pecahan mengikut lokasi, daripada 20 daerah, Johor Bahru merekodkan aduan tertinggi, diikuti Petaling, Seremban dan Kuala Lumpur serta Klang.

Justeru, industri telekomunikasi sudah menaik taraf 2,661 menara dan membangunkan 86 menara telekomunikasi di lima daerah yang mendapat aduan tertinggi.

Baru-baru ini, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) mendedahkan masih ramai pengguna mudah alih di negara ini menghadapi masalah rangkaian 4G, malah ada sesetengah kawasan langsung tidak mendapat liputan.

Pengerusi CFM, Muhammad Radzillah Abdullah berkata, dalam laporan suku keempat 2021, Jendela menyatakan setakat 30 September 2021, sejumlah 94.03 peratus daripada semua kawasan berpenduduk menerima liputan mudah alih 4G.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat banyak aduan dilaporkan dalam media khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan luar bandar bahawa pengguna masih mengalami masalah atau tiada liputan langsung.

CFM turut meminta SKMM dan penyedia perkhidmatan melaksanakan audit perkhidmatan selular untuk memberi gambaran lebih jelas dalam menyelesaikan masalah dihadapi pengguna.

Sementara itu, Fadhlullah Suhaimi berkata, SKMM akan melaksanakan audit kualiti 4G di setiap negeri seluruh negara dengan laporannya diterbitkan kepada umum agar dapat memberi maklumat tentang prestasi rangkaian.

"Laporan berkenaan juga akan dikongsikan kepada penyedia perkhidmatan untuk menambah baik liputan di kawasan berkaitan," katanya.

Dalam Laporan JENDELA Suku Keempat 2021, sejumlah 79 peratus atau 1.66 juta daripada 2.1 juta pelanggan 3G sudah beralih ke perkhidmatan 4G, manakala 80 peratus atau 203,374 daripada 253,860 rangkaian 3G telah ditutup setakat tahun lalu.

"Sejumlah 440,852 atau 21 peratus pelanggan sudah dihubungi berhubung peralihan kepada 4G dan mereka memaklumkan akan menunggu sehingga rangkaian 3G ditutup sepenuhnya sebelum beralih ke 4G.

"Bagi baki jumlah rangkaian 3G yang masih ada iaitu 50,486 (20 peratus) pula, kelewatan penutupan rangkaian ini disebabkan isu banjir dan monsun. Kami menjangkakan penutupan sepenuhnya menjelang 31 Mac tahun ini," kata Fadhlullah Suhaimi.

Sejumlah 1.434 juta premis menggunakan jalur lebar tetap bagi tempoh Januari hingga Disember 2021, manakala sejumlah 13,807 stesen asas jalur lebar mudah alih telah dinaik taraf kepada teknologi 4G dengan 250 menara telekomunikasi 4G baharu dibina tahun lalu.

Setakat 31 Disember 2021, sejumlah 6.85 juta premis menerima internet berkelajuan 37.30 Mbps melepasi sasaran 2021 JENDELA iaitu 6.5 juta premis dengan kelajuan 30 Mbps.

Bagi tahun ini, Fadhlullah Suhaimi berkata, sejumlah 652,101 premis dijangka dilengkapi ketersambungan fiber, manakala dari aspek liputan 4G pula, 1,661 menara baharu akan dibangunkan untuk meningkatkan kualiti mudah alih di seluruh negara.

"Pelaksanaan teknologi 5G juga diperluaskan tahun ini di bandar utama di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Johor, Selangor, Sabah dan Sarawak," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.