Rangkaian 5G di luar Lembah Klang dilaksana awal 2022

01 Mac 2023 - Harakah Daily


KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembangunan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) di luar Lembah Klang termasuk kawasan di sekitar sempadan negara telah dilaksanakan sejak awal tahun 2022.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berkata, setakat 31 Disember 2022, sebanyak 3,906 tapak telah siap dibangunkan di seluruh negara.

Menurut KKD, dengan jumlah tersebut, ketersediaan rangkaian 5G telah mencapai 47.1 peratus populasi di dalam kawasan berpenduduk.

“Jumlah peratusan ini adalah termasuk tapak-tapak pemancar 5G yang telah diaktifkan oleh DNB tetapi belum boleh diakses pengguna (infrastruktur tersedia),” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Rushdan Rusmi [PN-Padang Besar] di Dewan Rakyat, hari ini.

Rushdan dalam soalannya minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan apakah ketersediaan kementerian untuk mengimplementasi jalur lebar generasi ke-5 (5G) di luar Lembah Klang terutama kawasan di sekitar sempadan negara.

Kata KKD lagi, jika dilihat pada tapak 5G yang boleh diakses pengguna sahaja, ketersediaan perkhidmatan 5G berada pada 38.2 peratus populasi di dalam kawasan berpenduduk.

Bagi Negeri Perlis, ujarnya sebanyak 8 tapak 5G telah siap dibangunkan pada tahun 2022 dan pihak DNB menyasarkan sebanyak 35 tapak 5G baharu akan disiapkan pada tahun 2023 termasuklah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.