Rangkaian kedua 5G bakal untungkan pengguna

04 Mei 2023 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Pengenalan rangkaian kedua 5G bakal membuka ruang yang lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi dan manfaat kepada pengguna, demikian menurut penganalisis.

Pakar telekomunikasi, Prof Dr Tharek Abd Rahman, berkata langkah dilaksanakan kerajaan itu adalah satu tindakan tepat berdasarkan pencapaian liputan kawasan berpenduduk.

Beliau yang juga Profesor Adjung Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, sasaran 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang hujung tahun ini juga sudah dilihat mencukupi.

Katanya, penukaran model pelaksanaan 5G ketika ini daripada rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian juga mampu meningkatkan lagi kadar pengambilan 5G dalam kalangan pengguna.

"Ketika ini, kadar pengambilan 5G dalam kalangan pengguna agak rendah walaupun capaian sudah melebihi 50 peratus kawasan berpenduduk berbanding penukaran daripada 3G kepada 4G yang lalu.

"Dengan mewujudkan satu entiti baharu dan menjadikan 5G di Malaysia sebagai dwirangkaian, ia mampu memberikan penawaran yang lebih bukan saja kepada pengguna tetapi penyedia perkhidmatan serta mempercepatkan penggunaan 5G itu sendiri," katanya kepada BH.

Tharek berkata, entiti baharu yang bakal diwujudkan pada awal tahun depan juga boleh ditumpukan kepada kawasan perindustrian utama sekaligus mempelbagaikan lagi penawaran dan penggunaan teknologi itu.

Beliau berkata, teknologi 5G adalah bagi membolehkan teknologi baharu seperti automasi dan kecerdasan buatan (AI) ditingkat terutamanya bagi perindustrian.

Justeru, adalah penting jika entiti baharu kelak dapat memfokuskan kepada kawasan perindustrian dan juga kawasan yang masih kurang mendapat liputan.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berpendapat dwirangkaian bakal memberikan lebih banyak kebaikan kepada rakyat dan perniagaan.

Beliau berkata, ia juga mengelakkan daripada aspek harga dan perkhidmatan dimonopoli oleh hanya satu syarikat.

"Pengguna dan perniagaan kelak mempunyai pilihan yang boleh disesuaikan dengan kehendak mereka. Persaingan yang sihat antara dua rangkaian juga mampu meningkatkan mutu perkhidmatan dengan lebih baik," katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) juga perlu diberikan pilihan sama ada menyertai entiti yang diwujudkan Digital Nasional Bhd (DNB) atau menyertai entiti baharu.

Beliau berkata, ini juga membolehkan telco mengatur pilihan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan serta tidak terikat dengan satu peraturan semata-mata.

"Selain itu, pengguna juga tidak hanya perlu bergantung kepada hanya satu pembekal sahaja termasuklah aspek kerahsiaan data mereka.

"Jangan diulangi kesilapan pelbagai syarikat utiliti negara yang kini tidak mampu memenuhi hasrat perkhidmatan pengguna dan perniagaan, hanya baik pada awalnya tetapi menjadi lemah selepas beberapa tahun," katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.