SSA 5G dijangka dimuktamadkan, dilanggan menjelang akhir bulan ini: AmBank

24 Okt 2023 - Buletin TV3


KUALA LUMPUR: AmBank Research menjangkakan perjanjian langganan saham (SSA) dalam Digital Nasional Bhd (DNB) dan struktur ekuiti baharu akan dimuktamadkan dan dilanggan menjelang akhir bulan ini untuk mempercepatkan pelancaran pembangunan 5G di seluruh negara.

Ia berpendapat rangkaian 5G kedua akan dilancarkan pada awal 2024 bergantung pada liputan kawasan berpenduduk (CoPA) DNB yang mencapai 80 peratus menjelang akhir 2023.

Sehingga 30 Sept, CoPA bagi rangkaian 5G DNB telah mencapai 70.2 peratus dengan 5,873 tapak 5G.

Ia berkata untuk mencapai sasaran semua pengendali syarikat telekomunikasi (telco) mesti mengambil pegangan ekuiti dalam Entiti A dan apabila tercapai, telco boleh berpindah ke Entiti B dan pegangan itu diambil alih oleh mereka yang tidak mendapat pegangan ekuiti dalam Entiti A, di samping kerajaan melepaskan pegangan sahamnya dalam DNB untuk entiti swasta.

“Kami menjangkakan Entiti A boleh terdiri daripada Telekom Malaysia Bhd (TM), CelcomDigi Bhd dan YTL Communication Sdn Bhd, yang merupakan syarikat telekomunikasi pertama bersetuju untuk melanggan pegangan ekuiti dalam DNB sebelum ini.

“Sementara itu, Entiti B terdiri daripada Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd yang sebelum ini menolak penyertaan pegangan saham dalam DNB,” katanya dalam nota kajian hari ini.

AmBank Research berkata pemain itu berpotensi mempunyai kepentingan substantif yang sama dalam DNB, dengan mengandaikan 100 peratus dimiliki oleh mereka.

Pegangan ekuiti akan meningkat kepada 20 peratus dengan nilai substantif RM300 juta berbanding 65 peratus pegangan saham syarikat telekomunikasi yang dicadangkan sebelum ini, yang membayangkan purata RM210 juta untuk 14 peratus kepentingan setiap satu.

Dengan harga gentian optik diturunkan berikutan semakan Standard Mandatori mengenai Harga Capaian  (MSAP), yang mengawal selia harga borong untuk jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB), AmBank Research menjangkakan harga jalur lebar syarikat telekomunikasi yang lain akan mengikut semakan selepas TM menyemak semula tawaran akses rujukan (RAO) untuk caj borong dan pengurangan harga runcit Unifi.

“Kami berpendapat Maxis akan mencapai persetujuan dengan RAO TM dan juga menyemak semula harga gentian optik di kediaman pada hujung bulan ini untuk mengekalkan daya saing dengan harga jalur lebar baharu pengendali gentian optik yang dominan,” katanya.

Ia juga percaya siling harga borong untuk rangkaian 5G kedua harus setanding dengan rangkaian 5G DNB, yang kini ditetapkan pada 13 sen setiap gigabait (GB).


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.