Sabah capai liputan Internet 100 peratus menjelang akhir 2025

04 Dis 2022 - Daily Express


SABAH dijangka mencapai liputan Internet 100 peratus menjelang akhir 2025, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), katanya, akan memasang 300 terminal apertur sangat kecil (VSAT) tahun depan bagi mengatasi masalah ketersambungan di kawasan luar bandar.

“SKMM sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambah baik liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini.

“Pelan Jendela bertujuan untuk meningkatkan tahap ketersambungan dan kualiti pengalaman perkhidmatan jalur lebar melalui inisiatif yang telah dikenal pasti dan menyediakan negara ke arah teknologi 5G.”

Beliau berkata sasaran Fasa 1 adalah untuk memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G kepada 90 peratus di kawasan berpenduduk.

“Pada masa ini, liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah meningkat kepada 88.06 peratus, manakala 154 daripada 611 menara baharu yang dirancang telah siap, 3,810 menara telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G daripada 3,984 menara dalam rancangan, 134,1161 premis daripada 21655 premis telah dibekalkan dengan sambungan gentian optik kelajuan Gigabit, dan 138 projek jalur lebar satelit yang telah siap,” katanya.

Untuk galakan sains, teknologi dan inovasi (STI), Yakub berkata kementerian juga melaksanakan program pengekodan, robotik dan inovasi supaya ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) di Sabah dapat diperkasakan.

Antara program tersebut ialah RoboNeo, Sabah Data Fest, Borneo Tech Summit, Digital IoT Sandbox, My Reskill IOT Programme, dan Malaysia Techlympic.
Selain itu, katanya, Kementerian akan mempergiat kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi Persekutuan serta pihak swasta untuk menyediakan tenaga kerja masa depan.

“Kementerian telah pun memulakan program pendalaman teknologi dan peningkatan kemahiran dalam bidang IR 4.0, AI, rantaian blok, elektronik dan bahan canggih dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Persekutuan (Mosti) sebagai persediaan ke arah negara berteknologi tinggi melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN 2021-2020) dan Rangka Kerja MySTIE,” katanya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.