Sabah sasar lebih 90 peratus liputan menjelang hujung 2024: Dr Arifin
02 Apr 2023 - Utusan Borneo
MEMBAKUT: Sabah menyasarkan lebih 90 peratus liputan komunikasi menjelang penghujung tahun 2024, kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif.
Arifin memberitahu, sasaran peratusan tersebut tidak mustahil dapat dicapai kerana kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) turut komited memastikan jaringan komunikasi dapat ditingkatkan.
"Saya ada bertemu dengan Menteri KKD, Fahmi Fadzil di Mekah bagi memaklumkan beberapa perkara berkaitan dan terbaru bertemu dengannya di Kuala Lumpur. Selepas pertemuan itu, beliau (Fahmi) sudah mengarahkan agensi-agensi berkenaan untuk mengambil tindakan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau khususnya dalam memastikan Sabah mendapat liputan menyeluruh menjelang hujung tahun 2024. Mudahan penghujung tahun 2024 sebahagian besar Sabah mendapat liputan.
"Inilah yang menjadi komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat di Sabah mendapat nikmat liputan digital yang menyeluruh dalam membantu anak-anak yang belajar serta memastikan masyarakat mendapat maklumat yang sahih, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo sempena program Cahaya Ramadan anjuran Yayasan Telekom Malaysia (TM) yang diadakan di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping.
Hadir sama Pengurus Besar TM Sabah, Datuk Sainal Mohd Amin.
Dalam pada itu, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut memberitahu, semasa pertemuan dengan Menteri KKD baru-baru ini juga, beliau ada meminta supaya menambah lagi prasarana Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah.
Jelasnya, ianya penting dalam memastikan akses terhadap kemudahan tersebut lebih stabil seperti di negeri-negeri lain di Semenanjung.
Katanya lagi, tambahan JENDELA juga berupaya membantu mencapai sasaran 90 peratus yang mana, pada ketika ini capaian internet di Sabah dianggarkan pada tahap 88 peratus.
Pada majlis itu, seramai 132 anak yatim di sekitar Membakut menerima sumbangan wang tunai serta bakul Ramadan daripada Yayasan TM yang disampaikan sendiri oleh Arifin dan Sainal.