Sebab mengapa model SWN relevan pembangunan 5G?

24 Apr 2022 - Utusan


PUTRAJAYA: Model Rangkaian Keseluruhan Tunggal (SWN) melalui Digital Nasional Berhad adalah satu pilihan tepat dan relevan selepas siri-siri penangguhan pelancaran infrastruktur dan rangkaian 5G di negara ini.

Penganalisis politik, Azizul Hakim Abd. Aziz berkata, DNB dan rakan kerjasama mereka, Ericsson memulakan fasa pertama pembangunan 5G sejak Disember tahun lalu, namun usaha itu mendapat gangguan apabila syarikat telekomunikasi menyuarakan kegusaran tidak munasabah.

Kata beliau, walaupun pihak kerajaan dan DNB akhirnya mencapai resolusi bersama syarikat pengendali rangkaian mudah alih (MNO), tetapi ia tidak berlangsung dengan baik selepas Panduan Tawaran Perkhidmatan dikeluarkan DNB pada penghujung Mac lalu.

“Dalam ikhtiar MNO untuk terlibat sama dalam pemacuan teknologi ini, tidak ada garis panduan dan garis masa jelas dikeluarkan melalui cadangan model Rangkaian Keseluruhan Berganda (DWN) yang dicadangkan MNO.

“Malah, tidak ada tanda pemilikan dan agihan jelas dalam kalangan syarikat telekomunikasi terutamanya dalam pembahagian pemilikan sebuah model SWN tambahan. Tiada kata putus pernah dikeluarkan MNO, sebaliknya pelan dan garis masa yang dikeluarkan DNB begitu jelas sehingga tahun 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas berhubung perdebatan berterusan tentang keperluan kerajaan untuk meneruskan SWN melalui DNB selepas Kabinet bersetuju melancarkan satu model perkongsian awam-swasta bagi pelancaran 5G, namun MNO di Malaysia seolah-olah tidak berpuas hati dengan jalan penyelesaian kerajaan.

 

Azizul Hakim berkata, pemilihan model DWN yang dicadangkan MNO akan memberikan persaingan antara dua entiti pembangun iaitu DNB dan gabungan MNO yang dilihat tidak wajar mengadunkan persaingan perniagaan dengan matlamat menghapuskan jurang digital.

Katanya, pemberian perkhidmatan ini akhirnya akan memaksa pengguna untuk memilih siapa yang akan memberikan perkhidmatan yang lebih murah, malah akan wujud persaingan kualiti diakibatkan pelaksanaan berbeza.

“Ia tidak akan mengubah hala tuju pensejahteraan digital, dan tidak ubah seperti produk atau perkhidmatan niaga yang lain. Lebih membimbangkan apabila sejarah telekomunikasi generasi baharu ini hanya sekadar mengulangi rentetan kegagalan MNO dalam pelaksanaan 4G,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan bandar pintar, pelaksanaan teknologi perubatan jarak jauh, malah dalam revolusi pendidikan juga memerlukan penyelarasan dan pelaksanaan 5G yang berkesan.

Katanya, ditambah lagi dengan keperluan sebuah negara untuk membasmi sebarang keciciran di luar kawasan pesat dan maju, tanggungjawab ini tidak seharusnya diangkat sebagai nilai dagangan oleh syarikat telekomunikasi.

“Adalah wajar bagi sebuah kerajaan untuk menggalas tanggungjawab ini demi penstrukturan dan pengendalian yang lebih berkesan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelbagai kementerian.

“Sebab itulah kerajaan perlu terus kekal sebagai pemegang taruh dalam DNB. Isu dan ancaman baharu terhadap jaringan komunikasi juga perlu diberi perhatian mendalam apabila 5G tidak hanya berkisar antara pengguna dan syarikat telekomunikasi,” katanya. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.