Sebuah menara telekomunikasi siap dibina di Machan, beroperasi suku kedua 2023

25 Nov 2022 - Utusan Borneo


KUCHING: Sebuah menara telekomunikasi telah siap dibina di kawasan Machan dalam usaha menambah baik kualiti liputan mudah alih di kawasan itu. 

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang berkata, menara telekomunikasi itu akan beroperasi pada suku kedua tahun 2023. 

Manakala, enam buah lagi menara baharu akan dibina pada Fasa 2 dan dijangka beroperasi pada suku keempat tahun 2023. 

“Pembinaan menara ini adalah menerusi projek Fasa 1 SMART (Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication) di bawah program SALURAN (Sarawak Linking Urban, Rural and Nation). 

“Selain itu, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak sembilan menara di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di kawasan Machan yang akan beroperasi pada suku keempat tahun 2023,” katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Allan Siden Gramong (GPS-Machan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini. 

Tambah Liwan, pada masa yang sama, 17 stesen pemancar sedia ada telah siap dinaik taraf daripada perkhidmatan 3G kepada 4G. 

Manakala tiga lagi stesen pemancar katanya, dijangka siap pada suku kedua tahun 2023.

Pihak kerajaan persekutuan katanya, juga telah melaksanakan inisiatif lain seperti peluasan rangkaian gentian optik baharu bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar talian tetap meliputi 940 premis yang telah siap sepenuhnya pada Ogos 2022. 

Ditanya, lokasi bagi projek menara telekomunikasi di bawah SMART Fasa 2 bagi kawasan Machan, Liwan berkata, ia melibatkan enam lokasi iaitu Rh Gamang, Rh Liang dan Rh Ringgau, Rh Bayang, Rh Nuang dan Rh Manila, Rh Tiboh dan Rg Unggat serta Rh Enyang. 

Manakala, lokasi bagi menara telekomunikasi di bawah inisiatif JENDELA melibatkan Pekan Kanowit, Nanga Mam, Jalan Geremai, Pine Garden di Kanowit, Rumah Wilfred, Penyulau, Rumah Dana di Machan, Kampung Maong dan SK Ulu Ranan. 


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.