Segerakan projek JENDELA di Telang Usan

07 Mac 2022 - Utusan Borneo


MIRI: Hampir separuh daripada rumah panjang di kawasan Telang Usan belum menikmati kemudahan rangkaian 4G yang dilaksanakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, daripada 88 rumah panjang dan kampung hanya 47 sudah menikmati kemudahan itu manakala selebihnya masih menunggu.
 

Beliau berkata, pelaksanaan JENDELA bagi memperluas liputan 4G dan meningkatkan kemudahan jalur lebar di Telang Usan perlu disegerakan demi kemudahan rakyat di pedalaman itu.

"Saya memohon agar kerajaan mempercepat pelaksanaan kemudahan ini untuk memudahkan penduduk di pedalaman Telang Usan berhubung dengan dunia luar. Selain itu, ia memudahkan mereka berkomunikasi dengan saya memandangkan kebanyakan rumah panjang ini terletak jauh di pedalaman dan mengambil masa untuk dilawati," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, hari ini.

Dennis berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berhubung liputan jalur lebar 4G di kawasan Parlimen Baram meningkat kepada 34.12 peratus (suku keempat 2021) berbanding 25.97 peratus (sebelum JENDELA dilaksanakan).

Zahidi menyatakan demikian semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

"Saya juga mencadangkan agar pemasangan aerial ditambah radius memandangkan setakat ini terhad untuk lingkungan 100 meter. Kebanyakan kampung di Telang Usan luas dan lebih daripada 100 meter. Ini bagi memastikan projek JENDELA dapat memberi manfaat kepada seluruh penduduk kampung," jelas Dennis.

Katanya, pelaksanaan projek itu dapat membantu penduduk di luar bandar menghubungi beliau pada bila-bila masa yang diperlukan.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.