Semua telco sedia miliki ekuiti DNB

28 Okt 2023 - Kosmo


PETALING JAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yakin liputan 5G bagi kawasan berpenduduk di seluruh negara akan mencapai sehingga 80 peratus.

Keyakinan itu disuarakan sendiri Menterinya, Fahmi Fadzil selepas hampir setahun mengambil alih kepimpinan di kementerian tersebut.

Menurut Fahmi, semua syarikat perkhidmatan telco juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menaik taraf rangkaian kepada 5G.

“Perkara ini tidak dapat dicapai oleh menteri-menteri sebelum ini dan kita di fasa akhir perbinca­ngan untuk membolehkan proses pemegangan saham dalam Digital Nasional Berhad (DNB) oleh syarikat telco.

“Ada beberapa perkara juga sedang diteliti sebelum kita mencapai tahap 80 peratus capaian 5G kepada penduduk, namun semua proses tersebut sedang berjalan mengikut perancangan dan setakat ini saya berpuas hati,” ujar­nya dalam sesi temu bual.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penularan berita palsu dan kandungan berunsur fitnah di media sosial, Fahmi berkata, KKD secara berterusan mengambil langkah efektif untuk memben­dungnya. Ini termasuk menerbitkan slot khas Biar Betul! menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), bagi menangkis kandungan yang disahkan tidak betul.

Jelasnya lagi, langkah kerajaan melaksanakan Global Minimum Tax (GMT) sebanyak 15 peratus seperti yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini juga memerlukan syarikat-syarikat media sosial untuk didaftarkan.

“Ini penting sebab kita lihat semua platform ini tidak berdaftar di negara kita dan sudah tiba masanya kita mengubah dasar ini kerana sejak 25 tahun lalu internet sudah banyak berubah.

“Selain itu, langkah ini juga bagi memastikan dana pengiklanan tidak hanya tertumpu di media sosial sehingga menjejaskan industri media di negara kita.

“Melalui perbincangan saya dengan pemain industri media sebelum ini, rata-rata mereka mengakui terkesan dengan pe­ngurangan dana iklan yang ba­nyak dibelanjakan di media sosial.

“Malah mereka menjangkakan ramai wartawan yang sedang be­kerja dalam industri ini akan hilang pekerjaan. Saya tidak mahu perkara ini berlaku terutamanya semasa saya memegang kepimpinan di KKD,”ujarnya.

Sementara itu, menyentuh isu aplikasi TikTok dan TikTok Shop di Malaysia, Fahmi berkata, selepas beberapa perbincangan di adakan bersama penyedia perkhidmatan itu, beliau berkata mereka bersedia untuk akur dan patuh dengan undang-undang di negara ini.

Ini kerana ujarnya, banyak peniaga termasuk gedung-gedung besar terkesan dengan TikTok Shop terutamanya.

“Saya pernah dapat aduan daripada seorang peniaga di Danau Kota yang memaklumkan kira-kira 70 peratus peniaga di situ terjejas sehingga ada yang terpaksa menjadi pemandu Grab.

“Jadi saya sangat terkesan apa yang disebut itu, bukan mereka sahaja terjejas, malah gedung-gedung besar sangat terkesan,” ujarnya.

Bagi mengatasi masalah itu katanya, KKD akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ujarnya, perbincangan itu untuk meneliti dan merangka satu dasar bagi memastikan manfaat ekonomi digital dapat diperoleh terutama kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tanpa menjejaskan pendapatan mereka.

Mengulas mengenai pengurangan duti hiburan untuk acara-acara seni di Wilayah Persekutuan, Fahmi menjelaskan ia sedikit sebanyak memberi peluang kepada penggiat seni menjana pendapatan dan sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada negara.

“Sebagai contoh, sebelum ini saya dan Perdana Menteri ada menghadiri konsert AR Rahman, ketika itu ramai peminat dan komposer dari negara luar hadir.

“Apabila ini berlaku, akan ada tukaran wang asing, tempahan hotel meningkat, pusat beli-belah penuh, gerai-gerai makanan pun penuh. Ini limpahan ekonomi yang saya maksudkan.

“Situasi ini adalah situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat, peminat, penggiat seni, KKD dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac),” ujarnya.


 

Undang-Undang Penafian / Dasar Privasi / Dasar Keselamatan
Hakmilik © 2020 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Semua Hakmilik Terpelihara.