Semua telco termasuk Maxis setuju muktamad Perjanjian Akses 5G
21 Jul 2023 - Berita Harian
KUALA LUMPUR: Semua syarikat telekomunikasi (telco) utama termasuk Maxis Bhd akan memuktamadkan proses pemegangan saham mereka di dalam Digital Nasional Bhd (DNB) tidak lama lagi.
Ia sekali gus dapat memberikan perkhidmatan 5G secara menyeluruh kepada penduduk di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil, berkata pasukan petugas pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha KKD juga sudah berjaya mencapai persetujuan berkaitan penyertaan ekuiti dalam DNB dan perjanjian akses 5G bersama DNB.
"CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB.
"Maxis juga sudah memulakan proses untuk menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB setelah beberapa isu berkaitan 5G dimuktamadkan pada 11 Julai 2023," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini hanya Maxis satu-satunya syarikat telekomunikasi utama yang masih tidak menawarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggannya.
CelcomDigi, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications telah pun menawarkan perkhidmatan 5G selepas menandatangani perjanjian akses 5G bersama DNB sejak tahun lalu.
Fahmi berkata, langkah Maxis itu juga seiring dengan komitmen yang diberikannya sebelum ini dalam akses 5G demi kepentingan pelanggannya.
Beliau berkata, pelanggan Maxis akan mula menikmati perkhidmatan 5G setelah Maxis mendapat kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada bulan hadapan," katanya.
"KKD dengan kerjasama semua pihak sentiasa memastikan aspirasi kerajaan direalisasi melalui proses yang inklusif, telus dan terangkum demi menjamin kualiti perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat," katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, setelah proses pemegangan saham itu dilaksanakan, tindakan seterusnya yang perlu diambil adalah menyokong pembangunan rangkaian 5G oleh DNB sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023 sebelum beralih kepada model dwirangkaian pada Januari 2024.
Beliau berkata, pihak syarikat penyedia perkhidmatan akan mengambil semua tindakan tata kelola sewajarnya bagi menyempurnakan proses itu.
"Sehingga 30 Jun 2023, DNB telah membangunkan infrastruktur rangkaian 5G meliputi 64.7 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan," katanya.